Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua rakan-rakan seperjuangan saya daripada Pakatan Harapan Perak. Sekali lagi saya telah dicalonkan bertanding untuk jawatan Speaker DUN Perak.
Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Pakatan Harapan Perak telah sehati sejiwa telah mengundi saya pada pagi ini. Saya rasa amat bangga dan berterima kasih kerana semangat kesetiakawanan rakan-rakan seperjuangan Pakatan Harapan Perak.
Walaupun saya tidak berjaya merampas semula kerusi Speaker DUN Perak tetapi semangat dan komitmen pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan Perak perlu dipuji. Saya yakin semangat dan komitmen ini akan membawa berkat kepada Pakatan Harapan Perak dalam PRU14.
Saya tidak berasa kecewa atau patah semangat kerana tidak terpilih sebagai Speaker DUN Perak. Kekurangan 6 undi dalam pertarungan itu membuktikan kekuatan Pakatan Harapan Perak yang bersatu padu.
Saya sedar bahawa Barisan Nasional begitu payah sekali untuk meletakkan calon Speaker kerana pergelutan dalaman yang amat dahsyat. Itulah sebabnya nama calon Speaker dirahsiakan sampai minit terakhir.
Saya juga percaya bahawa pergelutan antara UMNO dan MIC akan berterusan selepas perlantikan ini. Saya juga tahu masalah dalaman parti MIC berhubung dengan perlantikan Speaker.
Pada hemat saya proses pemilihan Speaker DUN Perak kali ini sebenarnya membuktikan kekuatan dan keteguhan Pakatan Harapan Perak. Pada masa yang sama, mendedahkan kelemahan dan kepincangan Barisan Nasional Perak.