Skip to content

Pakatan Harapan tumpu isu-isu membela kebajikan rakyat, elak polemik politik

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan sedia maklum dengan beberapa kenyataan yang dibuat oleh PAS sejurus berlangsungnya Ijtima’ Pilihanraya PAS Selangor hari ini.

Walaupun ada kenyataan-kenyataan itu yang menjurus terus kepada parti-parti di dalam Pakatan Harapan, Majlis Setiausaha berpendapat bahawa misi paling utama Pakatan Harapan sekarang ini adalah untuk menumpukan kepada isu-isu kebajikan rakyat yang tertekan dengan segala tindakan dan dasar Dato’ Seri Najib Tun Razak. Perkara paling penting dalam negara ini ialah untuk menghentikan kemudharatan kepada rakyat akibat dari pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi meringankan beban rakyat.

Dalam bulan Januari 2016 ini, ada beberapa peristiwa penting yang akan berlaku yang membawa kesan besar kepada rakyat. Ini adalah proses semakan semula Belanjawan Kerajaan Persekutuan 2016 yang terpaksa dibentangkan semula oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana unjuran pendapatan Kerajaan Persekutuan kini tidak lagi dapat menampung perbelanjaan. Satu lagi peristiwa penting ialah sidang khas Parlimen pada 26 dan 27 Januari 2016 untuk membahaskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang akan membawa kesan besar kepada rakyat.

Oleh yang demikian, mengambil semangat kesatuan politik di antara KEADILAN, DAP dan AMANAH yang dimeterai di dalam Perjanjian Pakatan Harapan semalam, Majlis Setiausaha mengambil pendirian supaya semua pimpinan Pakatan Harapan tidak terjebak di dalam polemik politik yang tidak berkesudahan kerana ini akan mengalihkan perhatian kami dari membawa isu-isu rakyat dan membendong keborosan Umno/Barisan Nasional. Malah, polemik politik yang berlebihan itu tidak disenangi rakyat dan memberi kelebihan kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk kekal berkuasa.