Skip to content

Pakatan Rakyat tidak akan dapat melangkah ke hadapan sekiranya isu ketidakhadiran dalam mesyuarat dan ketidakpatuhan terhadap keputusan mesyuarat dianggap sebagai isu “remeh”

Saya merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yang menyifatkan isu ketidakhadiran Presiden PAS dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai “remeh” dan tidak perlu diberikan perhatian.

Pimpinan pusat DAP amat kecewa dengan sikap dan pandangan tersebut kerana isu tersebut bukannya isu “remeh” tetapi melibatkan soal kesinambungan dan “survival” politik Pakatan Rakyat.

Isu yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkenaan ketidakhadiran Presiden PAS dalam mesyuarat Pakatan Rakyat bukan sahaja isu ketidakhadiran beliau secara fizikal dalam mesyuarat tetapi yang lebih serius ialah ketidakpatuhan terhadap keputusan yang telah dicapai dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Bagaimanakah Pakatan Rakyat dapat berfungsi dengan efektif dan melangkah ke hadapan sekiranya keputusan yang telah dicapai bersama dalam mesyuarat boleh dinafikan oleh Presiden salah satu parti kompenen secara “unilateral” yang tidak hadir dalam mesyuarat.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang menggalas tanggungjawab pentadbiran yang berat, sudah tentu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng tidak dapat hadir dalam setiap mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Tetapi ketidakhadiran beliau dalam mesyuarat tidak pernah menimbulkan masalah kerana beliau tidak pernah mempertikaikan sebarang keputusan yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Wakil DAP dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diberikan mandat penuh dan kepercayaan oleh Jawatankuasa Ekskutif Pusat (CEC) DAP untuk membuat keputusan bagi pihak DAP. Persoalan yang utama di sini ialah adakah wakil PAS dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk membuat keputusan bagi pihak PAS tanpa kehadiran Presidennya?

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat tidak akan dapat berfungsi sekiranya tidak ada komitmen penuh daripada setiap parti dalam Pakatan Rakyat untuk mematuhi dan berpegang kepada prinsip dan dasar bersama PR dan keputusan yang telah diputuskan.