Pada pagi tadi, saya telah bertemu dengan YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabat beliau untuk berbincang tentang perkembangan politik negara. Antara perkara yang telah dibincangkan termasuklah pakej rancangan ekonomi untuk mengatasi kesan buruk yang diakibatkan oleh wabak COVID-19, yang sebelum ini dijadualkan untuk diumumkan oleh Tun Dr Mahathir pada 27 Februari 2020.
Kementerian Kewangan dan saya telah memuktamadkan pakej rangsangan ekonomi tersebut pada hari Ahad, 23 Februari 2020 (iaitu hari terakhir saya sebagai Menteri Kewangan) untuk dikemukakan kepada YAB Perdana Menteri pada 24 Februari 2020. Walau bagaimanapun, YAB Tun telah meletakkan jawatan beliau pada 24 Februari 2020.
Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa pakej rangsangan ekonomi tersebut akan diumumkan oleh beliau sebagai Perdana Menteri interim pada suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.