Skip to content

Pakej rangsangan ekonomi RM45 bilion diperlukan untuk menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi serta merangsang pemulihan ekonomi bagi mencapai unjuran kadar pertumbuhan 7.5% pada 2021

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus sedar bahawa rakyat bukan marah kerana pelaksanaan PKP untuk memerangi COVID-19, tetapi kegagalan Kerajaan PN untuk mengawal lonjakan peningkatan jangkitan walaupun terdapat tiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Daripada menghentikan dasar yang berubah-ubah dan pusingan U SOP COVID-19 SOP atau amalan dua darjat dalam penguatkuasaan sekatan PKP, Muhyiddin memilih untuk menggantung dan menolak untuk membuka semula Parlimen, walaupun Agong sudah bertitah bahawa tidak ada keperluan untuk menutup Parlimen di bawah Darurat.

Bagaimana rakyat tidak marah apabila jumlah jangkitan COVID-19 terus meningkat walaupun Parlimen masih ditutup? Lebih buruk lagi ialah komen dari Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa PKP 3.0 tidak dijangka akan memberi kesan yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Cuba katakan sedemikian kepada perniagaan dalam sektor pelancongan yang akan gulung tikar atau mereka yang mengalami kerugian besar di sektor runcit disebabkan PKP. Adakah PN memberi isyarat bahawa tidak ada bantuan kerajaan yang akan diberikan di bawah PKP 3.0?

Apa yang rakyat perlukan adalah bantuan kewangan dan Muhyiddin boleh mengurangkan kemarahan rakyat jika dia melancarkan satu lagi pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion seperti yang dilakukannya tahun lalu untuk memperlahankan pemberhentian pekerja, kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan dan menyelamatkan mata pencarian ekonomi rakyat. Pakej rangsangan ekonomi baharu bernilai RM45 bilion ini perlu memberi manfaat terus kepada pekerja dan perniagaan merangkumi:

  • kenaikan pembayaran bantuan bulanan kebajikan masyarakat kepada RM1,000, termasuk penganggur, menelan belanja RM12 bilion setahun.
  • pelanjutan automatik moratorium pembayaran pinjaman bank, tidak termasuk 20% Teratas, sehingga akhir Program Imunisasi Kebangsaan pada akhir tahun, yang akan membantu 8 juta individu dan syarikat Malaysia dan harus ditanggung oleh bank, yang masih mencatatkan keuntungan selepas cukai lebih daripada RM22 bilion untuk 2020 berbanding RM32.3 bilion pada tahun 2019.
  • insentif pengambilan pekerja bagi jangka masa 2 tahun, RM500 sebulan kepada pekerja dan RM300 sebulan kepada majikan di bawah MalaysiaKerja bagi mendorong mereka mengupah pekerja tempatan yang akan mencipta pekerjaan bagi 300,000 pekerja Malaysia selama satu tahun, yang menelan belanja RM6.5 bilion. Pengangguran belia masih pada tahap tinggi 13.4% pada bulan Mac 2021.
  • Mendigitalkan pendidikan termasuk membeli komputer riba yang menelan belanja RM3.5 bilion bagi menyediakan pembelajaran atas talian untuk semua pelajar, di mana sekolah hanya dibuka selama 4 bulan tahun lalu dan mungkin sama tahun ini.
  • RM23 bilion perlu diberikan kepada semua perniagaan yang terjejas disebabkan kemelesetan ekonomi dan PKP, dalam bentuk geran kewangan, subsidi sewa dan utiliti, jaminan pinjaman dan pelanjutan kredit untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor runcit dan industri pelancongan yang telah lumpuh. Industri pelancongan kerugian RM100 bilion pendapatan tahun lalu dan tanpa “talian hayat” dari Kerajaan, akan menghadapi masa depan yang suram.

Bukan hanya pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi rakyat akan terancam, tetapi pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan oleh kerajaan pada kadar pertumbuhan 7.5% tahun ini akan sukar dicapai tanpa pakej rangsangan ekonomi bernilai RM45 bilion.