DAP Sabah berpendapat bahawa, SESB seharusnya memberikan diskaun terus kepada pengguna pada bulan ini, seandainya pihak berkuasa tersebut berikhlas untuk “memohon maaf” di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna ekoran daripada kejadian gangguan bekalan elektrik seluruh negeri, hari kelmarin.
Merujuk kepada kenyataan Pengarah Urusan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir Abdul Razak Sallim hari ini, bahawa “pihak SESB memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi pengguna ekoran daripada kejadian ini”, adalah didapati bahawa keikhlasan “mohon maaf” tersebut tidak terjamin memandangkan SESB cuma “tidak boleh menghalang” pengguna untuk menuntut ganti rugi disebabkan kerosakan barangan elektrik akibat gangguan.
DAP Sabah berpendapat, untuk menunjukkan keikhlasan “mohon maaf” tersebut, SESB seharusnya mempertimbangkan membayar pampasan terus melalui diskaun bil elektrik. Sebaliknya, SESB cuma mengatakan bahawa “pengguna boleh menuntut ganti rugi asalkan semua prosedur tuntutan dipatuhi.”
Menurut jawapan bertulis Dewan Undangan Negeri, SESB adalah tertakluk kepada Akta Bekalan Elektrik 1990. Dalam hal berkaitan bayaran pampasan atau ex gratia, Seksyen 17 Akta Bekalan Elektrik 1990 adalah terpakai yang mana pemegang lesen iaitu SESB tidak bertanggunan sekiranya bekalan dihentikan disebabkan keadaan-keadaan berikut:
jika disebabkan oleh apa-apa hal keadaan yang di luar jangkaan, elektrik yang dijanakuasakan tidak mencukupi untuk membolehkan kuantiti sepenuhnya dibekalkan dengan mudah, apa-apa kerosakan kepada mana-mana orang atau apa-apa harta atau bagi apa-apa pemberhentian bekalan elektrik yang mungkin disebabkan oleh kemalangan yang tidak dapat dielakkan, rosak rosot biasa atau beban berlebihan diakibatkan oleh sambungan kelengkapan yang tidak dibenarkan, atau disebabkan oleh kehendak munasabah sistem itu, atau disebabkan oleh kecacatan pada mana-mana pampasan yang tidak disediakan oleh pemegang lesen.
Menurut akta tersebut, SESB hanya bertanggungan apabila kerosakan adalah disebabkan oleh kecuain di pihak SESB sendiri. Daripada penerangan Ir Abdul Razak Sallim hari ini, didapati SESB cuba menyifatkan kejadian gangguan elektrik seluruh negeri terebut adalah insiden yang “di luar jangkaan”, seperti yang ditunjukkan dalam katanya, “berdasarkan reka bentuk sistem penjanaan dan bekalan tenaga SESB penjana di Sepanggar tidak sepatutnya terpelantik, namun ia berlaku juga dan masih mencari puncanya.”
Menurut beliau, SESB telah mengambil semua tindakan yang sebolehnya termasuk menggerakkan pelan kecemasan. Ini bermaksud, SESB tidak bersikap “cuai” dalam insiden tersebut. Jikalau pihak SESB tidak melakukan sebarang kecuaian, adakah penuntut ganti rugi boleh berjaya walaupun mengikut semua prosedur tuntutan? Jikalau tidak mungkin berjaya kerana tiada kecuaian SESB dikaitkan, adakah SESB ikhlas dalam menyebut “tiada halang untuk menuntu rugi”?