Skip to content

Para menteri dan timbalan wajib mengambil pendekatan proaktif dan memahami betapa seriusnya keadaan semasa, terutama sekali kesan sosio-ekonomi terhadap rakyat jelata pada waktu genting dan tidak stabil hari ini

Saya merujuk laporan berita di mana Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dipetik berkata satu mesyuarat khas akan diadakan bagi menangani lonjakan kes virus COVID19 akan dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan.

Saya sebagai wakil rakyat ingin menyatakan rasa kecewa dan marah terhadap kelembapan menteri kesihatan dalam menangani isu yang membingungkan seluruh rakyat Malaysia.

Virus tidak menunggu pak menteri bermesyuarat. Bacaan terkini menunjukkan kes jangkitan telah melonjak ke 428. Menteri wajib prihatin dan proaktif dalam menangani masalah wabak, bukannya tunggu untuk keesokan hari baru nak bermesyuarat.

Ini menjatuhkan kewibawaan di mana apabila dalam soal politik, pelbagai mesyuarat dapat diadakan serentak di beberapa hotel pada hari Sabtu dan Ahad. Manakala isu kesihatan rakyat jelata pulak seolah tidak diberikan keutamaan yang sama.

Saya menyeru pihak berkuasa untuk memandang serius perkara ini. Ketika ada orang Malaysia yang terlantar di wad kecemasan ICU, saya menggesa para Menteri, Timbalan Menteri dan khususnya, Menteri Kesihatan, jangan main-main dengan soal nyawa rakyat.

Para menteri dan timbalan wajib mengambil pendekatan proaktif dan memahami betapa seriusnya keadaan semasa, terutama sekali kesan sosio-ekonomi terhadap rakyat jelata pada waktu genting dan tidak stabil hari ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullan dan pasukan beliau telah bekerja keras di bawah tekanan besar. Adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan Menteri Kesihatan untuk mengerah tenaga semua pemegang taruh untuk menangani wabak demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia.