Skip to content

Para pekerja pembersihan dan petugas keselamatan adalah petugas barisan hadapan dan pemberian vaksin Covid-19 untuk mereka ini wajar dipercepatkan!

Para pekerja pembersihan dan petugas keselamatan adalah petugas barisan hadapan dan pemberian vaksin Covid-19 untuk mereka ini wajar dipercepatkan!

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah pun berjalan, namun pengendalian program tersebut sangat lambat. Walaupun Fasa 1 dan Fasa 2 program tersebut sudah berjalan, masih terdapat banyak kategori petugas barisan hadapan yang belum mendapat vaksin.

Dalam pada itu, sudah tiba masanya untuk kita nilai semula siapakah golongan yang dikategorikan di dalam barisan petugas hadapan memerangi Covid-19. Kita sering lupa akan kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja pembersihan dan petugas-petugas keselamatan. Selain daripada kakitangan perubatan, anggota pasukan penguatkuasa dan guru, mereka ini juga antara golongan yang mempertaruhkan nyawa mereka tatkala pandemik ini sedang mengganas.

Pekerja-pekerja pembersihan di hospital misalnya, kerja-kerja mereka ini sentiasa terdedah dengan wabak berkenaan. Kawasan yang mereka berada sahaja sudah dikira sebagai kawasan berisiko tinggi. Sama seperti pekerja pembersihan di kawasan bandar, mereka ini sering menguruskan sampah-sampah berbahaya seperti pelitup muka terpakai. Bagi para petugas keselamatan pula, mereka bekerja sepanjang masa dan berinteraksi dengan orang ramai di dalam tugas mereka, sekaligus menjadikan mereka individu yang bekerja di dalam sektor berisiko tinggi.

Desakan untuk mereka ini dikategorikan sebagai golongan barisan hadapan bukanlah perkara baru, bahkan sudah wujud dari awal pandemik lagi. Malangnya, desakan ini tidak diendahkan oleh pihak kerajaan. Sudahlah mereka tidak diberikan elaun RM600 yang diberikan kepada golongan barisan hadapan, vaksin juga mereka tidak dapat!

Tidak kira warganegara atau tidak, sudah tiba masanya mereka ini dikategorikan sebagai petugas barisan hadapan dan divaksinkan secepat mungkin! Adalah terlalu lambat bagi kita menunggu Fasa 3 untuk mereka divaksinasikan!