Parlimen ke-15 patut memenuhi aspirasi Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar terganggu” dengan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Malaysia berada di tempat terbaik untuk memainkan peranan ini kerana kita adalah sebuah negara majoriti Islam yang berada di titik pertemuan empat tamadun hebat dunia – Melayu/islam, Cina, India, dan Barat.
Dari 55 negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), hanya empat negara yang mempunyai jumlah penduduk Muslim yang kurang dari 65% – Malaysia, Lubnan, Sierra Leone, dan Nigeria.
Saya percaya Malaysia lebih layak berbanding dengan tiga negara lain ini untuk menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Menurut Bancian Populasi dan Perumahan 2020, 63.5 peratus penduduk negara mengamalkan agama Islam, 18.7 peratus beragama Buddha, 9.1 peratus Kristian, 6.1 peratus Hindu, dan 2.7 peratus mengamalkan lain-lain agama atau tidak memberikan maklumat ini.
Kita adalah sebuah negara yang terbentuk dari pelbagai etnik – majoritinya Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Dayak.
Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Kehadiran meriah pelbagai etnik dan agama di rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, sama ada yang dianjurkan oleh kerabat diraja, pemimpin politik, mahu pun rakyat, menjadi bukti solidariti dan keterbukaan dalam kalangan rakyat Malaysia – satu petunjuk yang rakyat Malaysia masih belum berputus asa dengan idea Bangsa Malaysia yang bersatu padu walaupun pencipta Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia ini sendiri telah menolak idea ini.
Pihak berkuasa perlu mengambil satu langkah lagi ke hadapan – dari menyemai kelima-lima prinsip Rukun Negara di sekolah kepada menyemai prinsip-prinsip ini dalam kalangan masyarakat Malaysia secara amnya, seperti dengan membentuk kelab Rukun Negara dalam komuniti Malaysia di seluruh negara.
Namun, langkah pertama yang diperlukan adalah satu usul dalam sidang Parlimen Mei/Jun untuk menyatakan sokongan terhadap aspirasi Tunku Abdul Rahman, untuk Malaysia menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu” dan untuk mencari jalan untuk mempromosikan Malaysia sebagai contoh dialog antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Kemenangan anugerah Oscar Michelle Yeoh dan pemilihan filem Amanda Nell Eu, “Tiger Stripes” untuk Semaine de la Critique Cannes 2023 adalah bukti yang menunjukkan rakyat Malaysia mampu mencapai pencapaian yang bertaraf dunia.
Marilah semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, atau kawasan, melihat kepada Michelle Yeoh dan Amanda Eu sebagai contoh Impian Malaysia untuk mencapai aspirasi Tunku Abdul Rahman untuk negara kita menjadi “sinar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Marilah kita hidupkan semula semangat Piala Thomas pada tahun lima puluhan dan enam puluhan untuk menunjukkan kepada dunia yang rakyat Malaysia boleh menjadi juara dunia.