Skip to content

Parti-parti Pembangkang tidak kelihatan seperti berminat dengan isu kemerosotan negara dalam suku abad yang lepas dan tidak peduli untuk membangkitkan semula Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya mereka hanya mahu untuk terus memecah belahkan rakyat Malaysia dengan memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan

Melihat senario politik di Malaysia dalam satu tahun yang lepas, kelihatan yang parti-parti Pembangkang seperti tidak berminat dengan isu kemerosotan negara dalam suku abad yang lepas dan tidak peduli untuk membangkitkan semula Malaysia sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia, sebaliknya mereka hanya mahu untuk terus memecah belahkan rakyat Malaysia dengan memainkan isu-isu perkauman dan keagamaan.

Amat menyedihkan apabila sifat tidak peduli mereka sudah mencapai satu tahap di mana sampai ada Ahli Parlimen mereka yang memegang ijazah doktor falsafah boleh menyebarkan ucapan kebencian yang mengatakan kononnya Perdana Menteri pertama Singapura, Lee Kuan Yew, dan setiausaha agung Parti Komunis Malaya, Chin Peng, adalah sepupu saya, dengan cubaan untuk menuduh saya ini kononnya seorang komunis dan tidak setia kepada Malaysia.

Namun, tidak ada seorang pun pemimpin PAS dan Bersatu yang telah mengecam Ahli Parlimen ini atas tuduhan liar dan tidak masuk akalnya ini, sedangkan Ahli Parlimen ini telah pun menukar nama Perdana Menteri pertama Singapura kepada “Lim” Kuan Yew.

Mengapakah mereka diam membisu dalam satu kes ucapan kebencian dan salah guna isu 2R yang sangat jelas ini?

Jawapannya agak jelas – pengecaman sebegini akan menjadi seperti satu kecaman ke atas Presiden PAS, Hadi Awang, yang pernah membuat tuduhan yang sama liar dan tidak masuk akal, yang mengatakan kononnya DAP dan saya adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, komunis, dan mempromosikan Islamofobia. Tetapi dia gagal untuk memberikan satu bukti sekalipun untuk membuktikan tuduhan-tuduhan liar dan tidak masuk akalnya ini.

Hadi dan parti-parti Pembangkang memberikan Islam satu imej yang buruk dengan tindakan mereka yang menyalahguna agama Islam untuk membunuh karakter lawan politik mereka, kerana perkara ini bukanlah tujuan Islam atau mana-mana agama hebat dunia sekalipun.

Apakah yang telah dilakukan oleh parti-parti pembangkang dan para pemimpin mereka dalam satu tahun yang lepas untuk menghentikan dan memulihkan kemerosotan negara dalam suku abad yang lepas, sama ada dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, atau sosial?

Langsung tidak ada apa-apa.

Soalan perlu ditanyakan sekarang: Adakah parti-parti Pembangkang dan para pemimpin mereka ini patriot Malaysia yang hanya mahukan perkara yang terbaik untuk Malaysia?

Boleh para pemimpin PAS dan Bersatu jawab?