PAS adalah musuh terbesarnya sendiri dengan enggan menarik balik daripada naratif politik yang menyalahkan dan menyasarkan minoriti bukan Islam dan bukan Bumiputera berkenaan rasuah dan ancaman kepada kuasa politik Melayu dan Islam di Malaysia. Dimulakan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang, PAS tidak malu untuk membuktikan diri mereka sebagai ekstremis dan rasis tetapi juga gagal menawarkan sebarang penyelesaian untuk masalah ekonomi dan cabaran rasuah negara.
Inilah sebab mengapa Kelantan menjadi negeri termiskin di Semenanjung Malaysia selepas lebih 30 tahun pemerintahan PAS, rakyat Kelantan yang dahagakan peluang ekonomi berhijrah ke negeri lain dan Singapura untuk mencari peluang pekerjaan, pengurusan krisis yang lemah dalam banjir, tadbir urus yang buruk malah tidak mampu menyediakan air paip bersih kepada warganya. Inilah masa depan Malaysia yang menakutkan dengan PAS berada dalam kerajaan.
Sebaliknya, PAS menjadi malas dengan mengambil jalan mudah untuk melibatkan diri dalam peperangan “kebudayaan” seperti mahu mengharamkan konsert, Bon Odori dan Oktoberfest walaupun ia acara kebudayaan atau tidak melibatkan orang Islam. Jika BN dan negeri PN mengikut telunjuk PAS, maka konsert, Bon Odori dan Oktoberfest yang diharamkan di negeri mereka dialu-alukan untuk datang menganjurkan acara mereka di Pulau Pinang.
Yang menyedihkan, parti politik bukan Islam dalam kerajaan sekarang seperti MCA, MIC, GPS dan GRS terus mengabaikan permusuhan PAS terhadap orang bukan Islam dengan terus menyokong PAS dan Menteri PAS dalam kerajaan. Jelas sekali parti-parti politik bukan Islam dalam kerajaan ini berkelakuan tidak berbeza dengan sida-sida politik yang membuka ruang kepada ekstremisme dan rasisme PAS terhadap orang bukan Islam dan bukan Bumiputera.
Hairan Masih Ada 10% Orang Bukan Islam Di Kelantan Yang Masih Menyokong PAS.
Di sebalik dakwaan Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah dalam Muktamar PAS semalam, kerajaan PAS negeri di Kedah sekarang telah bertindak zalim terhadap golongan minoriti di sana tanpa sebarang penglibatan dengan masyarakat berkenaan. Oleh itu Mohd Amar tidak perlu terkejut apabila orang bukan Islam mempunyai pandangan negatif terhadap PAS sehingga mereka tidak lagi mahu mengundi parti Islam itu walaupun di Kelantan.
Mohd Amar mengeluh bahawa di Kelantan hampir 90% orang Cina menolak calon PAS, yang dia menyalahkannya kepada DAP. Bagaimana DAP boleh mempengaruhi pengundi bukan Islam di Kelantan, melainkan orang bukan Islam di sana dapat melihat sendiri betapa rasis dan ekstremisnya PAS? Apa yang menghairankan, masih terdapat 10% orang bukan Islam di Kelantan yang masih menyokong PAS. Ini berbeza dengan kepimpinan sederhana almarhum Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz, di mana 90% orang bukan Islam di Kelantan menyokong PAS.