Skip to content

PAS harus konsisten dengan pendiriannya terhadap keganasan, dan menegaskan kembali pendiriannya itu

PAS harus konsisten dengan pendiriannya terhadap keganasan, dan ia mesti menegaskan kembali pendiriannya itu; susulan daripada kenyataan beberapa orang pemimpin PAS yang kelihatan ‘mengkagumi’ jalan yang dipilih oleh bekas ahlinya, Mohd Lotfi Ariffin yang dilapor syahid di Syria.

PAS sebelum ini telah bertindak memecat Mohd Lotfi lantaran penglibatan beliau dalam gerakan militan. Bukan itu sahaja, PAS turut memutuskan sebarang pertalian dengan Mohd Lotfi.

Namun secara tiba-tiba beberapa pemimpin PAS nampaknya seakan setuju dengan jalan militan yang dipilih Mohd Lotfi; lantas menimbulkan sedikit kekeliruan tentang pendiriannya tentang aktiviti militan dan keganasan.

Dalam keadaan pergolakan negara-negara Timur Tengah dan penglibatan kumpulan-kumpulan yang tidak dapat dipastikan betul benarnya serta asal usulnya, PAS mesti berhati-hati dalam memberikan sokongan kepada mana-mana kumpulan militan, mahupun anggota kumpulan militan.

Jalan yang dipilih oleh Mohd Lotfi adalah haknya. Namun kita tidak seharusnya menyokong keganasan, atas alasan apa sekali pun. Jalan ke hadapan adalah dengan demokrasi dan juga perjuangan demi keadilan serta kebebasan tanpa penumpahan darah.