Saya tertarik dengan kenyataan media terbaru oleh Pesuruhjaya PAS Perak khususnya bab untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri Perak.
Sekiranya diperhatikan, cara berpolitik Pesuruhjaya PAS Perak kini adalah berbeza dengan yang sebelum ini, yakni kurang memainkan retorik fitnah, tidak beremosi dalam mengutarakan hujah, dan mencuba sedaya upaya untuk “balik ke jalan tengah politik”dengan hasrat agar tidak lagi ditolak sepenuhnya oleh masyarakat berbilang kaum dan hanya menjadi jaguh di kawasan kampung.
Ini adalah ahli politik yang pragmatik dan lebih sesuai dalam arena politik tanah air kita, bukannya ahli politik yang disaman fitnah dan kalah berkali-kali tanpa segan silu ataupun ahli politik yang mencuba untuk mengaitkan status kaum apabila berlakunya kes menyerang Sultan Perak.
Namun, retorik adalah jauh tidak mencukupi sekiranya berbanding dengan tindakan sebenar. PAS harus sedar bahawa tindakan sebenar melalui dasar di bawah pimpinan negerinya adalah lebih mudah untuk meyakinkan rakyat bahawa PAS adalah benar-benar berniat untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum dan bukannya menjadi parti yang harus ditolak lantaran perbuatan mereka yang memecahbelahkan perpaduan.
Sekiranya PAS betul-betul berniat untuk mengukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum, bukti penampilan terbaiknya adalah melalui sidang DUN Perak yang akan datang, yakni lebih menekankan politik tengah seperti menghormati sekolah pelbagai aliran, tidak lagi mempertikaikan peruntukan yang diberikan kepada sekolah SUWA, tidak menjadikan Kampung Baru Cina sebagai “punching bag” dan sebagainya.
Parti politik yang benar-benar serius dalam menyatupadukan rakyat pun harus membidas kenyataan pemimpin yang pernah menyebut ucapan perkauman seperti “semua yang mata, kulit macam kita mesti bersatu” dan juga mengecam sekeras-kerasnya sebarang kenyataan yang mengaitkan isu bangsa dalam apa-apa kes pun.
Sidang DUN Perak yang akan datang akan membuktikan bahawa sama ada PAS betul-betul berhasrat untuk memperkukuh perpaduan rakyat berbilang kaum, ataupun seperti lumrahnya hanya indah khabar daripada rupa.