Skip to content

Pas lawatan sosial suami/isteri kepada warganegara dan MM2H: Kementerian Dalam Negeri perlu mengoptimumkan perkhidmatannya ketika era Covid

Sebagai Ahli Parlimen, kami mewakili suara rakyat dan bertanggungjawab untuk menyemak polisi Kerajaan dan memberikan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan. Salah satu jawatan yang sangat penting adalah Menteri Dalam Negeri. Kedudukan ini mempunyai kuasa yang besar terutama sekali untuk memelihara dan mengekalkan keselamatan negara tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu.

Ramai di kalangan rakyat Malaysia mempunyai pasangan bukan warga negara dan menetap di sini. Mereka mempunyai anak-anak, bekerja serta membayar cukai dan menyumbang kepada ekonomi negara. Dengan beberapa siri lockdown dan yang lebih panjang baru-baru ini, kebanyakan mereka menghadapi kesulitan untuk memperbaharui visa mereka. Mereka perlu membuat temujanji melalui “Sistem Temujanji Online” (STO) yang selalunya telah penuh untuk 3 bulan akan datang. Perkara ini menimbulkan tekanan kepada institusi keluarga – pendidikan anak-anak, rawatan perubatan, isu pekerjaan dan pelbagai perkara lain yang bergantung kepada pembaharuan visa pasangan mereka. Kami menggesa Menteri Dalam Negeri supaya memberikan jalan penyelesaian kepada kumpulan pemegang visa ini yang memberi kesan kepada ahli keluarga rakyat Malaysia iaitu dengan membenarkan pembaharuan visa untuk tempoh yang lebih panjang (berbanding setiap 1 atau 2 tahun seperti sekarang). Ini juga secara automatik akan mengurangkan kehadiran pemohon di kaunter imigresen dan memberikan lebih jaminan kepada kumpulan keluarga ini.

Kita telah berusaha bertahun-tahun lamanya untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang menarik untuk pelaburan asing, salah satu daripadanya ialah melalui program Malaysia My Second Home (MM2H). Dianggarkan pemegang visa MM2H membelanjakan sekitar RM10,000 sebulan atau RM120,000 setahun ketika mereka tinggal di Malaysia sebagai rumah kedua mereka. Program MM2H telah menyumbang berbillion ringgit kepada ekonomi negara namun ianya telah ditangguhkan sejak tahun lepas. Hari ini ramai pemegang visa MM2H telah tersangkut di luar Malaysia. Semasa tempoh pandemik di mana ekonomi negara kita terancam dan kita terpaksa bergantung kepada apa sahaja yang tinggal, kita perlu menggalakkan mereka yang menyumbang kepada pendapatan negara untuk kekal di sini. Ketika Menteri Ekonomi cuba mendapatkan pelaburan baharu di luar negara, Menteri yang di Malaysia pula terus memperkenalkan polisi yang mengelirukan, tidak konsisten dan tidak ada koordinasi sehingga mereka yang berada dalam program ini tidak lagi mahu tinggal di Malaysia. Kami menggesa Menteri Dalam Negeri untuk membenarkan pemegang visa MM2H yang telah lengkap 2 dos vaksin untuk memasuki semula negara dan mengeluarkan garis panduan MM2H yang dikemaskini untuk penyambungan semula program.

Kami hanya mengemukakan 2 contoh bagaimana Menteri Dalam Negeri boleh menggunakan kuasa yang beliau miliki untuk mempromosikan polisi mesra keluarga dan yang membantu Kerajaan menjana pendapatan. Kementerian Dalam Negeri perlu mengoptimumkan perkhidmatannya yang melibatkan dokumen penting berkaitan identiti dan keselamatan contohnya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengeluarkan sijil kelahiran. Telah tiba masanya Kementerian mempertimbangkan untuk memperkenalkan lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian yang akan mengurangkan kesesakan di kaunter. Laman sesawang Kerajaan juga perlu mengeluarkan pemberitahuan rasmi dengan segera dan menjadikannya mudah untuk diakses dan ini seharusnya dilakukan oleh semua Kementerian. Kami menggesa Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengambil pendekatan yang holistik dan strategi yang tersusun untuk membina semula ekonomi kita dan memastikan keluarga yang terkesan ini dibantu. Ini adalah punca pendapatan yang mudah, segera dan bersih untuk Kerajaan. Jangan mempersia-siakannya ketika pendapatan kita telah hampir habis.