Skip to content

PAS Meludah ke Langit, Akhirnya Jatuh ke Muka Sendiri

Sejak PAS tidak lagi memilih jalan tengah & kesederhanaan dalam politik dan telah memainkan isu perkauman dan keagamaan sekian lama, akhirnya isu tulisan cina batu asas di majlis pecah tanah Kedah Rubber City telah menunjukkan muka sebenar PAS yang membawa maksud peribahasa yang berbunyi “meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri”. Inilah akibatnya apabila PAS & Perikatan Nasional membina retorik politik atas dasar prasangka terhadap masyarakat berbilang kaum selama ini.

Sewaktu berlakunya insiden bendera negara China dikibarkan oleh warganegara China di dalam program tokong, Pesuruhjaya PAS Perak ketika itu yang terkenal dengan amalan fitnah & juga sekutunya terus membuat tohmahan bahawa kononnya warganegara Malaysia yang berbangsa Cina telah “mengangkat bendera asing” dan secara implisit menyampaikan maksud tersirat bahawa komuniti Cina tidak menghormati tanah air sendiri.

Apabila berlakunya insiden serangan terhadap Sultan Perak sempena Hari Kebangsaan di Perak, ada juga wakil rakyat PAS yang menuduh bahawa kononnya adalah seorang perempuan Cina yang terlibat dalam serangan tersebut. Akhirnya hantaran media sosial berbaur perkauman tersebut terpaksa dipadamkan selepas dibuktikan oleh PDRM bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas.

Ketika berlakunya kes Jalur Gemilang yang tidak digantung dengan baik secara tidak sengaja, pemimpin Pakatan Harapan biarpun kerajaan perpaduan menyeru agar menyelesaikan kemelut tersebut mengikut lunas undang-undang, tetapi PAS dan samseng politik yang sehaluan dengannya pula memilih untuk mewujudkan persepsi bahawa seolah-olahnya seluruh komuniti Cina adalah “tidak patriotik”. Skrip dan cara ahli politik sedemikian adalah sama saja, iaitu mengetepikan segala fakta sebenar dan mendahulukan sensasi & sentimen.

Kini walaupun papan tanda dwibahasa yang selalu dipertikaikan pihak Perikatan Nasional wujud di dalam majlis rasmi negeri Kedah, perkataan berbahasa Cina pada batu asas tersebut tiba-tiba menjadi isu panas kendatipun kepelbagaian bahasa & budaya memang merupakan sesuatu yang normal di Malaysia sejak kemerdekaan.

Inilah akibatnya apabila PAS selalu cenderung untuk mempertikaikan bahasa dan budaya orang lain untuk kepentingan politik murahan, akhirnya mereka makan diri, sehingga kena mengaburkan gambar tulisan Cina pada batu asas tersebut.

Sekiranya benar-benar ingin dihormati oleh masyarakat berbilang kaum, berhentilah daripada menjadikan komuniti berbangsa lain atau berbeza agama sebagai kambing hitam. Hormat dibina dengan keikhlasan, bukannya melalui penghantaran kuih bulan kepada MCA sahaja, dan pula meminta masyarakat Cina di Kedah untuk bersyukur atas pemberian peruntukan. Rakyat pandai menilai perbezaan antara keikhlasan dengan gimik.

Nasihat saya kepada PAS, hentikanlah segala politik menakut-nakutkan. Belajarlah untuk menghormati Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, raikan kepelbagaian bahasa dan budaya sebagai jambatan, bukan menjadikannya sebagai tembok.