Skip to content

PAS patut kaji semula percaturan politik sendiri sebelum mengkritik Kerajaan Persekutuan

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Parti PAS atas kemenangan di Kelantan dan Terengganu. Walaupun tidak lagi relevan di negeri lain akibat kekalahan teruk pada PRU14 lepas, namun kita sedia maklum bahawa PAS masih ada kekuatan politik di sebelah Pantai Timur.

Pendapat Pengarah Penyelidikan PAS (PPP) Dr Zuhdi Marzuki bahawa Pakatan Harapan tidak menjangka kemenangan dalam PRU14 adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Untuk kali pertama dalam sejarah sejak Merdeka, kita telah mengalami perubahan di peringkat persekutuan. Ini bukan sahaja kemenangan bagi Pakatan Harapan tetapi kemenangan bagi semua rakyat yang sekian lama inginkan perubahan.

Sudah tentu dengan perubahan kerajaan bagi kali pertama, pembentukan kabinet secara penuh akan mengambil masa. Dalam Pakatan Harapan, ada empat parti yang sama rata. Perdana Menteri selaku Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengalamannya sebagai Perdana Menteri dahulu memainkan peranan penting untuk membentuk kabinet selepas peralihan kuasa secara aman. Sepuluh kementerian yang dinamakan beliau adalah permulaan yang positif bagi memastikan kestabilan pentadbiran. Dilemma di Pakatan Harapan sekarang adalah terlalu ramai pemimpin yang berkaliber tinggi. Namun demikian, ramai yakin dengan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir, pentadbiran negara akan menjadi telus.

Sebagai kerajaan baharu, tanggungjawab Kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk mengenalpasti kelemahan pentadbiran dahulu secara mendalam dan memastikan sistem di negara kita dipulihkan secepat mungkin. Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan mengenalpasti bahawa skandal 1MDB adalah lebih teruk daripada disangka. Sudah tentu kerajaan harus mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin rejim lalu yang tidak bertanggungjawab menguruskan dana awam ke muka pengadilan. Mengambil tindakan sebegini bukannya sesuatu yang populis tetapi adalah suatu tanggungjawab selepas amanah diberikan oleh rakyat.

Dr. Zuhdi dan Parti PAS harus sedar bahawa percaturan politik yang dimainkan oleh PAS yang nampak bermesra dengan UMNO atas alasan ‘perpaduan ummah’ telah memakan diri PAS dan UMNO di semenanjung. Di Selangor sendiri di mana PAS adalah sebahagian daripada kerajaan negeri sebelum ini kalah teruk sehingga tidak relevan. Dr Zuhdi sendiri kalah teruk di Shah Alam. Kemungkinan besar rakyat Selangor tidak lupa akan cadangan jahat Dr. Zuhdi untuk menggulingkan Pakatan Rakyat dan tubuhkan kerajaan negeri Selangor bersama UMNO pada tahun 2014.

Bagi merealisasikan Malaysia baharu, kerjasama di antara semua rakyat Malaysia dan juga semua kerajaan negeri tanpa mengira parti politik yang mentadbir adalah amat penting. Lebih baik bagi Dr Zuhdi untuk belajar daripada kesilapan lalu dan mula menasihati kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk memudahkan pentadbiran negeri masing-masing. Semoga penggal baru ini akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia dan membawakan politik baharu di samping memantapkan demokrasi negara kita.