Skip to content

PAS tidak seharusnya mengasingkan serta menjauhkan diri lagi daripada Pakatan Rakyat degan meneruskan rancangannya untuk membentangkan rang undang-undang hudud di sidang DUN Kelantan pada 18 Mac 2015

Saya mengulangi dan menegaskan pendirian bahawa PAS tidak seharusnya mengasingkan serta menjauhkan diri lagi daripada Pakatan Rakyat degan meneruskan rancangannya untuk membentangkan rang undang-undang hudud di sidang DUN Kelantan pada 18 Mac 2015 ini.

Kita seharusnya berusaha memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan bukan berbuat sebaliknya.

Sekiranya PAS meneruskan dengan rancangan ini, ianya akan dilihat sebagai tindakan yang bertentangan dengan Pakatan Rakyat. Ini kerana rang undang-undang itu tidak mempunyai sokongan Pakatan Rakyat dan hudud juga bukan sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Sesiapa yang bertindak bertentangan dengan objektif bersama sesebuah organisasi, mengasingkan dirinya daripada organisasi itu. Kita tidak boleh berkata bahawa kita komited dengan visi dan tujuan sesebuah organisasi tetapi pada masa yang sama melakukan sesuatu yang jelas bertentangan dengannya.

Jika hal yang demikian terjadi juga kita akan dilihat seolah-olah berpatah arang dengan organisasi tersebut. Akan kelihatan nanti bahawa kita sudah tidak lagi sebahagian daripada organisasi itu.

Timbalan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan harus membaca dan memahami.

Ini bukan soal siapa memiliki Pakatan Rakyat atau siapa mahu siapa keluar dari Pakatan. Ini adalah mengenai apa yang PAS mahu lakukan dan bagaimana tindakan itu mencerminkan hubungannya dengan Pakatan Rakyat. Akhirnya apa yang akan terhasil bukanlah untuk diputuskan oleh mana-mana individu tetapi pimpinan Pakatan Rakyat sendiri.

Takiyuddin terus berkata bahawa PAS ada memaklumkan DAP mengenai hudud pada tahun 2011.

Biar saya jelaskan bahawa PAS tidak pernah menunjukkan atau memaklumkan kami mengenai butir-butir rang undang-undang hudud yang ingin dibentangkan pada 18 Mac 2015, mahupun rang undang-undang persendirian yang ingin dibentangkan di Parlimen untuk membenarkan pelaksanaan hudud dalam masa akan datang.

PAS malah enggan memberikan salinan rang undang-undang tersebut untuk kami lihat walaupun diminta oleh ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sebulan lalu.

Kali pertama mereka berbincang dengan kami mengenai rang undang-undang tersebut adalah ketika mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat beberapa minggu lalu, dan itulah sebabnya kenapa mesyuarat itu memutuskan supaya hal tersebut ditangguhkan sehingga dibincangkan secara terperinci kelak.

Janganlah Takiyuddin memutarbelit fakta. Kita sedang bercakap tentang rang undang-undang yang spesifik, bukan perbincangan am mengenai hudud.

Beberapa pemimpin PAS juga ada mencadangkan bahawa tindakan mereka memperkenalkan hudud ialah sebahagian daripada pendirian ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ oleh Pakatan Rakyat.

Dengan penuh hormat saya katakan, ini tidak masuk akal.

‘Bersetuju untuk tidak bersetuju’ itu maksudnya begitulah, bahawa semua parti dalam Pakatan Rakyat boleh untuk tidak bersetuju antara satu sama lain dalam perkara tertentu, tetapi itu tidak bermakna mana-mana parti komponen dibenarkan bertindak secara tidak konsisten dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Ia pastinya tidak membenarkan mana-mana parti untuk meneruskan sebarang agenda secara unilateral di luar kerangka dasar tanpa konsensus diperolehi terlebih dahulu daripada kesemua parti.

Jika demikian keadaannya, Dasar Bersama tidak lagi signifikan dan kehilangan nilainya dan tidak lagi perlu menjadi topik perbincangan.

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bahawa harus ada rasa hormat antara parti-parti komponen dalam Pakatan Rakyat, demi memperkukuhkannya. Ini saya setuju.

PAS justeru itu mesti menghormati hakikat bahawa rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat mempunyai hak untuk tahu dan memberi maklumbalas terhadap apa yang mereka mahu lakukan, terutamanya apabila ia melibatkan isu yang sensitif dan kontroversi seperti hudud.

Lebih penting lagi, PAS mesti menghormati kerangka Dasar Bersama dan keperluan konsensus sekiranya sesuatu ingin dilakukan oleh mana-mana parti komponen Pakatan Rakyat yang berkaitan dengannya.