Fitnah demi fitnah, tohmahan demi tohmahan. Begitulah apa yang diperlihatkan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Semalam, sudah masuk kali ketiga sejak pembubaran parlimen beliau menaburkan fitnah mengatakan DAP sebuah parti yang berkait rapat dengan parti komunis dan sebuah parti yang menolak insitusi raja berpelembagaan di Malaysia. Apabila beliau dicabar untuk melakukan laporan polis berkenaan kenyataan yang dinyatakan, sehingga hari ini beliau diam membisu. Kenyataan tersebut hanyalah omongan kosong yang penuh dusta dan menunjukkan betapa hodohnya perilaku beliau. Apakah naratif ini akan diulang beliau 10 kali tanpa jemu sehingga ke hari pilihan raya PRU15?
Parti DAP sangat mengalu-alukan kritikan yang membina, dan sedia berdiskusi malahan berdebat dengan mana-mana pihak yang berminat untuk mengetahui visi dan misi parti ini secara mendalam. Namun jikalau dilihat kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS, sering kali naratif sama digunakan, dan jarang sekali kritikan membina diberikan. PAS sebagai sebuah parti politik yang sudah lama penubuhannya, adakah ini rancangan jangka panjang untuk memenangi hati rakyat? Adakah kebencian dan dusta terhadap parti DAP manifesto utama PAS?
Adalah lebih baik untuk Abdul Hadi Awang lebih cakna akan masalah-masalah rakyat seperti masalah inflasi, kos sara hidup yang meninggi dan macam-macam lagi. Buat ketika ini, presiden PAS dilihat tidak cekap menjalankan tugas kerana sering dilihat ponteng sidang parlimen dan hanya mengerahkan masa dan tenaga untuk isu-isu berkaitan kaum dan agama.
Memandangkan PAS juga sudah menjadi kerajaan persekutuan dua tahun yang lepas, bukankah rakyat sepatutnya dapat melihat perkembangan dan kemajuan yang diterajui oleh PAS, terutamanya di negeri Kelantan dan Terengganu. Molek sekiranya segala usaha dan tenaga digembleng bagi membaiki kepincangan kepimpinan dan pentadbiran PAS, dan bukan disalurkan tenaga dan usaha tersebut dengan melemparkan kata-kata benci kepada pihak lawan.