Kami berasa hairan dengan keputusan mesyuarat semalam antara EXCO Kerajaan Tempatan bersama semua Datuk Bandar dan YDP PBT di Johor. Walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengizinkan operasi pasar harian, pasar tani dan pasar borong, Kerajaan Negeri Johor pula bertindak sebaliknya dan tidak mengizinkan operasi pasar tersebut.
Sekiranya kerajaan negeri boleh mengizinkan operasi pasar tani kekal dan pasar persendirian dalam bangunan, tiada sebab munasabah mengapa tidak boleh mengizinkan operasi pasar pagi, pasar tani dan pasar malam tertakluk kepada syarat PBT masing-masing. Dari segi operasi, pasar tersebut adalah perkhidmatan dan penjualan barang asas. Malah, pasar yang terdiri di tapak lapang mempunyai pengalihan udara jauh lebih baik berbanding pasar dalam bangunan.
Kami memahami sepenuhnya betapa mencabar keadaan penularan wabak COVID-19 dalam negeri kita pada masa kini. Walau bagaimanapun, PBT dan wakil rakyat seharusnya diberi kuasa budi bicara di kawasan masing-masing, untuk menentukan SOP setempat selaras dengan garis panduan MKN.
Setiap kawasan mempunyai situasi yang berbeza, dan PBT serta wakil rakyat setempat boleh mengadaptasikan SOP berdasarkan situasi dan keperluan di tempat masing-masing. Kaedah ini bukan sahaja membolehkan kerajaan mengatasi isu penularan Covid-19 secara lebih dekat bersesuaian dengan keadaan setempat malah mengizinkan kelonggaran untuk menjaga survival ekonomi rakyat di setiap kawasan.
Kami mencadangkan agar kerajaan negeri memberi keizinan kepada operasi pasar pagi dan pasar tani secara amnya, berdasarkan keputusan MKN, dan PBT diberi kuasa budi bicara untuk menjalankan pelaksanaan bersesuaian dengan keadaan tempat masing-masing. Kalau ada pasar yang terletak di lokasi yang sukar dikawal pergerakan orang ramai ataupun di mana kes positif COVID-19 kawasan tersebut melonjak, PBT mempunyai kuasa untuk menutupkan pasar pagi tersebut dengan serta merta.
Kami menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat dalam mesyuarat semalam. Kerajaan negeri juga perlu menyediakan dana untuk membantu para penjaja kecil yang berniaga di pasar pagi dan pasar tani sekiranya mereka tidak dibenarkan untuk beroperasi.
Teo Nie Ching
AHLI PARLIMEN KULAI
Wong Shu Qi
AHLI PARLIMEN KLUANG
Tan Chen Choon
ADUN JEMENTAH
Sheikh Umar Bagharib bin Ali
ADUN PALOH
Liow Cai Tung
ADUN JOHOR JAYA
Ramakrishnan A/L Suppiah
ADUN BEKOK
Gan Peck Cheng
ADUN PENGGARAM
Chen Kah Eng
ADUN STULANG
Chew Peck Choo
ADUN YONG PENG
Ee Chin Li
ADUN TANGKAK
Ng Yak Howe
ADUN BENTAYAN
Tee Boon Tsong
ADUN SENAI