Kenyataan terbaru Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low yang mendakwa tidak ada keperluan untuk menubuhkan IPCMC kerana sudah ada mekanisme untuk membuat aduan terhadap pihak polis adalah sangat tidak bertanggungjawab dan bermuka-muka. Menurut Low, kerajaan sudah pun mempunyai Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebuah badan pemantau bebas untuk agensi penguatkuasaan undang-undang, yang juga menyiasat aduan salah laku pihak polis.
Pertamanya, kenyataan ini adalah sangat hipokrit kerana Datuk Low sendiri pernah mengkritik kegagalan kerajaan untuk melaksanakan IPCMCM. Sewaktu menjadi Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Low pernah memberitahu dalam sebuah sidang media selepas membentangkan Global Corruption Report 2009 bahawa tindakan kerajaan mencairkan IPCMC yang sedang dalam cadangan pada waktu itu sehingga sekadar menjadi sebuah suruhanjaya aduan adalah indikator jelas bahawa kerajaan tidak mampu mengawal pihak-pihak yang berkuasa.
Paul Low telah dengan begitu cepat menyesuaikan diri dengan budaya penipuan BN dengan memungkiri janjinya untuk menyokong cadangan Suruhanjaya Siasatan Di Raja untuk menubuhkan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) yang lebih tinggi martabatnya berbanding Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
Paul Low dahulunya pernah menyebut bahawa rakyat mesti berasa yakin dengan pasukan polis yang bersih daripada sebarang pengaruh luar dan siasatan dilakukan secara adil terhadap semua laporan polis. Malangnya Datuk Low kini sudah mengubah nadanya dan kini nampaknya telah bersetuju dengan EAIC yang telah pun terbukti sebagai suatu kegagalan yang sangat besar. Ini bukan usaha untuk menukar bentuk luaran dan mengekalkan isi yang asal, bahkan mengekalkan isi yang lama dalam perkakas luaran yang lama.
Baru-baru ini bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad mempersoalkan kebolehan EAIC yang telah menerima peruntukan belanjawan sebanyak RM14 juta untuk tempoh dua tahun, tetapi hanya telah mengeluarkan dua amaran dan mengambil satu tindakan disiplin di antara tempoh 2009 sehingga 2012. Menurut Tun Hamid, 347 aduan diterima dalam tempoh tersebut, hanya 60 daripadanya diarahkan supaya dilakukan siasatan penuh dan daripada jumlah ini, hanya tiga yang benar-benar disiasat, dengan satu kes dirujuk kepada badan disiplin Polis Di Raja Malaysia dan dua kes ditutup kerana tuduhan berganda.
Oleh yang demikian, DAP menyeru supaya IPCMC ditubuhkan seperti mana yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Siasatan Di Raja Tun Dzaiddin pada tahun 2005 sebagai satu-satunya cara untuk mengembalikan keyakinan umum terhadap pasukan polis. Ini sangat diperlukan memandangkan begitu banyak sekali kes mati dalam tahanan yang berlaku beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dua yang terbary melibatkan N. Dharmendran, 32 di ibu pejabat polis Kuala Lumpur pada 21 Mei dan R. Jamesh Ramesh, 40, di ibu pejabat polis Pulau Pinang pada 26 Mei.
IPCMC sangat-sangat diperlukan, terutamanya apabila EAIC ternyata bukan sahaja suatu alternatif yang buruk, malah merupakan pembaziran dana awam, di mana RM14 juta dibelanjakan hanya untuk mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin.