Pada 15 September 2020, ADUN Kawasan Sabai, Kamache Doray Rajoo telah membuat satu laporan polis setelah menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang lelaki (ahli parti MIC) dalam sebuah kumpulan WhatsApp. Rakaman suara oleh beberapa lelaki yang berbentuk lucah dan menghina bertanyakan jika Kamache adalah ‘perempuan simpanan’. Ini telah menyebabkan seorang lagi dalam kumpulan tersebut berhasrat untuk ‘menyepak Kamache di mana jua’ dan ada yang menyaran agar dia ‘dipukul dengan penyapu’. (Rakaman suara dibuat dalam Bahasa Tamil.)
Penggunaan kata-kata lucah, yang menyakitkan hati dan seksis sudah menjadi lumrah dalam perjalanan politik ramai wakil rakyat wanita, dan bukannya perkara baharu. Mereka sering kali menghadapi keadaan kurang selesa dan jijik di mana perkataan-perkataan tertentu dan bahan jenaka yang merujuk kepada metafor seksual digunakan, termasuk juga sembang lucah yang biasanya berlaku dalam situasi yang seringkali didominasi golongan lelaki. Ramai wakil rakyat wanita sudah ‘biasa’ dan lali dengan bahasa tidak sopan yang ditujukan kepada mereka atau digunakan dengan lalai dalam mana-mana perbualan. Malangnya, ramai yang terpaksa menghadapinya dengan mendirikan benteng pertahanan atau mengabaikan kata-kata lucah tersebut akibat kecewa dengan ketiadaan tindakan terhadap mereka.
Namun begitu, sudah tiba masanya untuk kami mengambil pendirian yang tegas terhadap kelakuan, tingkah laku dan perangai sesetengah orang yang sudah menjadi kebiasaan akibat indoktrinasi dan seksisme, dan juga mungkin kerana kaum wanita yang memegang jawatan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen telah pasrah dengan ekosistem yang toksik ini.
Selagi masih lagi wujud golongan kaum lelaki yang menganggap bahasa, tingkahlaku dan perangai mereka yang tidak senonoh sebagai satu situasi yang ‘biasa’ dan ‘diterima’, dan ramai yang berperangai begitu akibat ‘didikan’ keluarga atau ‘kebiasaan’ di kalangan masyarakat, tidak pun merasakan ianya bersalah, atau menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Oleh yang demikian, adalah tanggungjawab semua warga, lelaki dan wanita, untuk bersuara tanpa rasa takut atau segan untuk mengecam kelakuan dan perangai yang jijik ini sebelum ia menjadi kebiasaan atau norma dalam masyarakat, agar anak-anak kita tidak meneruskan tabiat yang buruk ini.
Sebelum nasi menjadi bubur, kitaran toksik ini harus dihentikan. Percakapan yang menghina dan merendahkan martabat wanita, lucah dan seksis harus ditolak sama sekali oleh semua lapisan masyarakat. Hukuman berat harus dijatuhkan kepada sipelaku tidak mengira apa latarbelakang mereka.
Kecaman serangan, rogol, bunuh dan sebagainya kerap berlaku terhadap wakil rakyat serta aktivis wanita, dan kini di alam atas talian, ia menjadi lebih mudah untuk sipelaku kerana dapat bersembunyi di sebalik psudonim atau nama palsu. Modus operandi ini juga digunakan oleh pembuli siber untuk mengganggu mangsa serta memeras ugut mangsa.
Dalam kes Kamache, tiada alasan bagi pihak PDRM untuk melengahkan masa lagi dalam usaha mencari dan menahan mereka yang telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya. Dengan maklumat ini, golongan ini wajib diambil tindakan tegas. Kelewatan dalam reaksi PDRM untuk memberkas mereka ini akan secara langsung menghantar satu mesej kepada masyarakat umum bahawa mereka boleh buat perkara yang sama dan tiada apa-apa tindakan undang-undang yang akan diambil.
Peguam Negara harus menggunakan kuasa yang ada, dengan menggunakan Kanun Keseksaan atau undang-undang yang lain dengan kadar segera supaya golongan lelaki ini akan diambil tindakan tegas untuk memperjuangkan keadilan bagi mangsa gangguan seksual dan sebagai satu langkah pencegahan untuk masa hadapan. Kerajaan harus juga membuktikan keseriusan mereka untuk mencegah dan menjenayahkan kelakuan terkutuk seperti ini melalui penangkapan mereka tanpa rasa takut.
Gangguan seksual terhadap wanita dalam bentuk percakapan, tingkah laku dan kelakuan yang lain tidak boleh diterima sama sekali. Maka, sudah tiba masanya untuk Rang Undang-undang Akta Gangguan Seksual dan pindaan kepada mana-mana akta untuk memasukkan sekali jenayah ‘buli siber’ haruslah dibentangkan dalam sidang Parlimen yang akan datang pada bulan November ini. Akta ini dan pindaan yang berkaitan sudah tentunya akan memberikan perlindungan kepada semua lelaki dan wanita daripada menjadi mangsa serangan peribadi tetapi juga sebagai perlindungan bagi wakil rakyat wanita juga. Pada masa yang sama, Wanita DAP juga mencadangkan agar usaha kempen kesedaran yang perlu ditingkatkan seawalnya di bangku sekolah dan dalam masyarakat umum.
Wanita DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan pengecut segelintir lelaki yang mensasarkan wakil rakyat dan wakil rakyat wanita dan menggesa PDRM dan Peguam Negara untuk tidak melengahkan masa dan memberkas mereka, sekaligus menghantar mesej yang jelas dan tegas bahawa golongan yang seksis, biadab dan kurang ajar ini tidak boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.