Tindakan pihak PDRM menyiasat seorang pelajar berumr 17 tahun di bawah Akta Hasutan gara-gara menekan butang “Like” di laman Facebook I Love Israel nampaknya sedikit keterlaluan.
Jika dibandingkan dengan apa yang telah berlaku sepanjang 18 tahun ini dengan kes pelajar ini nampaknya ia satu kontradiksi yang nyata. Satu akta drakonian telah digunapakai untuk melarang pengguna media sosial untuk menekan butang “Like” terhadap kandungan di dalam Facebook dan dianggap sebagai satu kesalahan serius sebaliknya, mengapa tidak menggunakan akta-akta sedia ada untuk menahan kabinet yang ada hari ini termasuk kabinet-kabinet pada zaman Tun Abdullah Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah meluluskan aktiviti perdagangan dengan Israel. Malahan, bukan sahaja tempoh yang sebegitu lama kelulusan yang bertentangan dengan Dasar Luar Negara dan Akta Kastam 1967 ini dibiarkan begitu sahaja namun angka nilai perdagangan ini juga telah mencecah berbillion ringgit.
Jadi, adakah dengan menekan butang “like” di Facebook ini lebih besar kesalahannya berbanding dengan kebenaran melakukan aktiviti hubungan perdagangan dengan Israel. Lebih teruk lagi, Israel ketika ini seolah-olah “Kekasih Gelap” Malaysia. Sebelah siang, kita marah, kita cerca dan kita protes tetapi menjelang malamnya kita tidur sebantal bersama mereka.
Warga netizen Malaysia telah mengeluarkan kritikan dan pandangan betapa PDRM ini tidak memahami media sosial. “Like” bukanlah sekadar bermaksud suka di alam maya. Mengapakah PDRM ini boleh mempunyai mentaliti seperti budak tadika? Hanya melihat daripada sebelah aspek sahaja. Kadangkala, netizen menekan butang “Like” di satu-satu laman itu bukanlah bermaksud mereka suka tetapi untuk melihat posting-posting yang dikeluarkan oleh pemilik atau moderator laman tersebut. Ada juga yang sekadar ingin membaca dan mengikuti topik perbincangan “thread” dalam laman tersebut berikutan ia akan masuk ke dalam “timeline” atau juga “push notification” kita.
Jika negara ini sememangnya tidak mempunyai masalah lain maka perkara ini sememangnya perlu menjadi keutamaan kepada kita tetapi hakikat yang perlu PDRM berpegang teguh adalah PDRM sendiri mengakui negara ini sedang dijadikan tempat rekrut dan latihan oleh pejuang-pejuang ISIS di banyak lokasi dalam negara. Ini perkara yang lebih serius dan berpotensi membawa negara kita menjadi sasaran perang negara lain tetapi nampaknya tindakan PDRM agak perlahan sebaliknya memilih untuk menumpukan usaha terhadap kononnya hasutan seorang pelajar berumur 17 tahun ini.
Aktiviti Naturalis di Pulau Pinang juga jika menurut laporan media, PDRM telah pun menghubungi Interpol untuk membantu menahan suspek-suspek dalam kejadian itu. Dalam kes YSLM, Zhang Jian, pemilik YSLM yang mengakui bakal menjadi individu terkaya di dunia, telah telah diisytiharkan oleh Dato’ Sri Alias Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dlam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, bahawa syarikat ini terlibat dalam kegiatan haram, secara terang dan nyata mencabar PDRM agar menangkap beliau. Lebih keterlaluan lagi, Zhang Jian telah merakamkan satu klip video dan menyebarkannya di laman Youtube dengan mencabar PDRM dan menunjukkan wang-wang yang dimilikinya.
Beliau secara terus terang di dalam klip video tersebut menyatakan beliau ada di sebuah pulau di Thailand bersama-sama timbunan wang Bhat Thailand. Namun, sehingga kini, kita masih tidak nampak lagi PDRM meminta bantuan Interpol untuk menangkap pemilik YSLM dan membawa pulang ke negara ini untuk berhadapan dengan tuduhan sindiket penipuan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sendiri telah menyatakan bahawa sindiket YSLM ini telah melibatkan nilai wang sejumlah RM 300 juta. Ini bukanlah satu nilai yang kecil dan juga bukanlah satu kes terpencil kerana ia melibatkan ramai rakyat negara ini.
Individu-individu yang telah saya sebutkan sama ada YSLM dan yang terlibat dalam memberikan kelulusan hubungan perdagangan dengan Israel ini kemungkinannya telah terlibat dalam satu kesalahan yang melanggar akta undang-undang negara tetapi tindakan drastik dalam dua kes ini nampaknya masih lagi merupakan satu mimpi di waktu tidur.
Saya tidak menyangkal bahawa kemungkinan pelajar dan kumpulan Naturalis itu telah melakukan satu kesalahan tetapi mereka bukanlah terdiri daripada kelompok penjenayah besar ataupun pengganas tetapi PDRM begitu proaktif dan pantas mengambil tindakan dan membuat tangkapan berbanding dalam kes-kes jerung besar yang lain. Bagaimanakah rakyat akan terus mempercayai integriti dan kredibiliti pasukan ini yang sememangnya telah tercalar teruk.
Inilah apa yang pepatah menyebutkan “kuman di seberang lautan nampak tetapi gajah di depan mata pula tidak nampak”.