Pengkhianat tak malu seperti Paul Yong, cuba menutup pengkhianatannya terhadap rakyat Perak dengan ungkapan “tak ada duit jangan masuk politik”.
Pada awal bulan Mac tahun ini, sementara negara dan seluruh dunia sedang menghadapi COVID-19, Paul Yong menganggotai kumpulan pengkhianat untuk mengadakan pertunjukan lompat katak di hadapan orang ramai. Perbuatannya yang membelakangi rakyat telah menerima kritikan yang pedas dalam kalangan pengundi. Namun demikian, beliau menebalkan muka dan memilih untuk merampas kuasa bersama dengan PN, dan terus menjadi adik beradik kepada Ahmad Faizal yang kini bagai kacang lupakan kulit.
Paul Yong menggambarkan pengkhianatannya sebagai tindakan yang mulia dan demi rakyat. Namun dengan kata-katanya sendiri, Paul Yong kini telah membuktikan bahawa duit merupakan segala-gala bagi beliau sehingga semuanya dilupakan. Semasa pemerintahan Pakatan Harapan, Paul Yong memegang portfolio EXCO Kerajaan Tempatan dan mengendalikan urusan kampung baru di dalam negeri Perak. Ahmad Faizal pula memegang hak pengurusan tanah dalam negeri. Sekiranya Paul Yong betul-betul ingin berkhidmat untuk rakyat, tambahan pula begitu mesra dengan Ahmad Faizal, tidak pula kita lihat hatta sekeping geran hak milik kekal dikeluarkan untuk kampung tersusun?
Hakikatnya, semasa menjadi EXCO, Paul Yong tidak peduli dengan isu-isu rakyat walaupun bertanggungjawab dalam urusan kerajaan tempatan. Sebagai contoh, Pasar Awam Pasir Pinji yang mempunyai sejarah 60 tahun mengalami kerosakan fasiliti yang teruk dan usang. Setelah Pakatan Harapan memegang jawatan, saya dan pasukan berusaha sebaik mungkin untuk menggunakan semua saluran untuk memohon sumber bagi meningkatkan kemudahan dan ruang pasar tersebut.
Dengan sokongan pasukan Pusat Khidmat dan penduduk, Pasar Awam Pasri Pinji berjaya memperoleh peruntukan berjumlah RM11 juta untuk projek pembinaan semula. Dalam segala proses untuk memperjuangkan sumber dan peruntukan ini, Paul Yong sebagai EXCO Kerajaan Tempatan langsung tidak memberi apa-apa sokongan dan bantuan. Malah ketika itu, beliau pula sedang sibuk dengan tuduhan kes rogol yang menjadikannya sebagai defendan.
Kini, projek pembinaan semula Pasar Pinji tergendala sejak PN merampas kuasa. Kerajaan negeri yang terdiri daripada pengkhianat ini tidak pernah memikirkan rakyat, dan tidak akan ragu-ragu untuk membalas lawan politik sehingga menyusahkan hidup rakyat. Kerajaan PN sanggup merampas hak rakyat untuk mendapat kemudahan dan fasiliti awam yang lebih baik semata-mata demi kepentingan diri.
Inilah realiti yang terpaksa diharungi oleh rakyat negeri Perak. Dan Paul Yong nampaknya masih bermuka tebal untuk mengajar tentang cara untuk berkhidmat kepada rakyat pada waktu ini.
Kepada para politikus pengkhianat seperti Paul Yong, nasihat saya ialah, ‘Tak ada prinsip, sila keluar politik’ .