Skip to content

Peguam Negara Idris Harun jangan lupa bahawa dia dilantik oleh Yang DiPertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak patut mengeluarkan kenyataan umum yang seolah-olah “memperkecil” kuasa Yang DiPertuan Agong

Peguam Negara Idris Harun jangan lupa bahawa dia dilantik oleh Yang DiPertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan dan tidak patut mengeluarkan kenyataan umum yang seolah-olah “memperkecil” kuasa Yang DiPertuan Agong. Dengan menekankan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kuasa kecuali untuk mendengar nasihat Kabinet, Idris berpihak kepada Perdana Menteri untuk mengenepikan Titah Diraja Agong yang didukung oleh Majlis Raja-Raja, agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

Tidak ada keraguan bahawa Idris telah menunjukkan wajahnya yang sebenar sebagai Peguam Negara bersifat politik, yang bersedia melakukan arahan Perdana Menteri untuk memenuhi kepentingan politik seperti yang diperlukan. Idris telah menarik tumpuan orang ramai sebelum ini atas penyalahgunaan kuasa yang ditunjukkannya dalam menahan tindakan dan menjalankan pendakwaan terpilih terhadap ahli politik yang menyokong atau menentang Perdana Menteri.

Idris tidak perlu berpura-pura bahawa dia menegakkan undang-undang ketika dia bersedia untuk mendedahkan kepada umum nasihatnya kepada Yang DiPertuan Agong sebagai pegawai undang-undang utama kerajaan. Langkah yang belum pernah terjadi sebelum ini sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab. Walaupun pandangan Idris boleh dipertikaikan secara sah oleh pakar undang-undang yang lain, mengapa dia mendedahkannya kepada umum sekarang?

Sebelum ini, Idris tidak mendedahkan kepada umum pandangannya bahawa Yang DiPertuan Agong sepatutnya mendengar nasihat Kabinet ketika Tuanku menolak permohonan pertama Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin dan Kabinet tahun lalu untuk mengisytiharkan darurat. Kenyataan umum Idris sekarang secara jelas membayangkan bahawa Yang DiPertuan Agong telah terkhilaf apabila menolak permohonan Kabinet untuk darurat pertama ketika itu, tetapi tidak ada kenyataan umum daripadanya. Apa sebabnya Idris sekarang secara tiba-tiba berani bersuara terhadap Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja?

Tidak syak lagi bahawa kegagalan Kerajaan PN telah menyebabkan Yang DiPertuan Agong mengambil langkah bersejarah untuk memanggil semua pemimpin parti politik, termasuk pemimpin pembangkang, untuk mendapatkan pandangan. Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja telah bertitah dengan tegas bahawa Parlimen perlu bersidang secepat mungkin untuk membincangkan pandemik global COVID-19 berikutan lonjakan tertinggi jangkitan dan angka kematian, kemelesetan ekonomi serta pelbagai Ordinan Darurat yang dikeluarkan di bawah kuasa Darurat.

DAP menggesa Kerajaan PN untuk tidak menggerakkan usaha keseluruhan kerajaan terhadap Titah Diraja Agong, dan bahawa Yang DiPertuan Agong tidak mempunyai kuasa untuk memanggil sidang Parlimen tetapi merupakan prerogatif Kabinet. Tindakan politik melulu seperti itu boleh mencetuskan krisis perlembagaan yang tidak dapat ditanggung oleh Malaysia kini ketika menghadapi pelbagai krisis. PN sebaliknya perlu mematuhi Yang DiPertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan rakyat yang menuntut agar Parlimen bersidang secepat mungkin dan Darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos.