Kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah luas. Beliau adalah individu yang memutuskan, bergantung kepada fakta dalam setiap kes tertentu, sama ada mahu dakwa atau tidak, dan jika ada pendakwaan, dalam kes-kes tertentu sama ada perkara itu boleh ditangani dengan kompaun atau tidak.
Seksyen 373(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 memperuntukkan bahawa Pengerusi Suruhanjaya boleh, dengan persetujuan Pendakwa Raya, memberi kompaun kesalahan di bawah peruntukan tertentu akta tersebut.
Persoalan telah dibangkitkan mengenai keputusan Peguam Negara yang membenarkan kompaun di dalam kes Serba Dinamik. Ini khususnya seperti yang dinyatakan oleh seksyen 373(2) apabila kompaun tersebut dibayar, tiada prosiding lanjut boleh diambil terhadap individu terbabit berkenaan dengan kesalahan tersebut.
Walaupun Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding jenayah seperti yang dinyatakan sebelum ini, persoalannya ialah adakah perlu ada ketelusan di dalam melaksanakan kuasa itu. Ia juga menimbulkan persoalan akauntabiliti yang hanya boleh dinilai jika ada penjelasan terlebih dahulu.
Terdapat banyak desakan untuk Peguam Negara menjelaskan keputusannya di dalam kes Serba Dinamik.
Perkara itu telah mencetuskan perdebatan awam dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penggiat korporat dan penggiat pasaran modal yang kesemuanya mengharapkan badan kawal selia memainkan peranan mereka dengan efektif dalam memastikan kredibiliti tadbir urus korporat dan pembangunan pasaran modal di Malaysia.
Berdasarkan perkara di atas, berdiam diri bukanlah pilihan bagi Peguam Negara.
Sebagai Pendakwa Raya, beliau mesti bersuara, menjawab dan menangani kebimbangan yang dibangkitkan.
Beliau mesti menjelaskan mengapa beliau bersetuju perkara itu diselesaikan dengan cara kompaun dan bagaimana ia, berdasarkan fakta kes ini, menimbulkan keyakinan.