Skip to content

Peguam Negara perlu menjelaskan pendakwaan terhadap Syed Saddiq bagi membuktikan bahawa beliau melaksanakan tugas perlembagaannya untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih

DAP meminta penjelasan segera daripada Peguam Negara kepada pendedahan yang merisaukan oleh bekas Menteri dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengenai penganiayaan politik dan pendakwaan terpilih setelah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan dua tuduhan menyalahgunakan dana bekas partinya (Bersatu) berjumlah RM1.12 juta semalam. Peguam Negara perlu segera menjawab mengapa Syed Saddiq didakwa 4 hari sebelum Parlimen bersidang pada 26 Julai sedangkan beliau telah menandatangani kertas pertuduhan pada bulan Ogos 2020 dan Januari 2021.

Penundaan untuk memfailkan salah satu pertuduhan tersebut hampir setahun setelah perintah pertuduhan diberikan oleh Peguam Negara tidak pernah terjadi sebelum ini terhadap tokoh masyarakat dan suatu tindakan luar biasa menggunakan budi bicara mutlak Peguam Negara untuk mendakwa. Kegagalan memberikan akauntabiliti awam sepenuhnya hanya akan menambah kepercayaan kepada pendedahan yang merisaukan oleh Syed Saddiq bahawa dia diancam dan diugut oleh Kerajaan PN untuk menyokong Perdana Menteri Mahiaddin Md Yasin atau terpaksa menghadapi akibatnya.

Kerajaan PN dilihat sebagai gagal sepenuhnya dalam mentadbir negara, terutama pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi. Pejabat Peguam Negara sekarang dilihat sebagai gagal dalam menjalankan tugas perlembagaannya untuk menegakkan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih. Ini merosakkan kemampuan Peguam Negara untuk melaksanakan tugasnya ketika beliau kehilangan semua kepercayaan dan kredibiliti awam, terutama setelah keputusan sebelum ini secara terbuka dan jelas menentang titah Agong agar Parlimen bersidang secepat mungkin.

DAP mengecam sekeras-kerasnya tindakan menggunakan agensi kerajaan dan pihak berkuasa sebagai senjata untuk kepentingan politik, terutama setelah Mahiaddin kehilangan majoriti parlimennya berikutan penarikan sokongan daripada UMNO. Syed Saddiq bukan Ahli Parlimen pertama yang menjadi mangsa proses pendakwaan dan siasatan terpilih, serta penyalahgunaan kuasa demi kelangsungan politik pihak yang berkepentingan, dan beliau telah mengatakan bahawa beliau tidak akan menjadi yang terakhir, dengan lebih ramai lagi Ahli Parlimen yang menolak untuk “patuh” berkemungkinan akan didakwa di mahkamah.

Beberapa Ahli Parlimen PKR yang melompat untuk menyokong Mahiaddin, termasuk seorang mantan Menteri kanan, telah didakwa oleh PKR mengalami ancaman dan ugutan yang serupa daripada agensi kerajaan, khususnya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Selain tawaran dorongan wang kepada Ahli Parlimen mereka yang telah mereka laporkan kepada SPRM, PKR juga mendakwa bahawa siasatan oleh SPRM terhadap MP tertentu telah digugurkan setelah MP tersebut melompat.

DAP menyatakan sokongan penuh dan solidariti kepada Syed Saddiq dan akan bersama-sama menentang percubaan keji Kerajaan PN untuk memesongkan kehendak dan mandat rakyat yang diberikan pada Pilihan Raya Umum 2018 kepada PH untuk memerintah. Daripada pengalaman peribadi, perbicaraan ini tidak akan mudah bagi Syed Saddiq tetapi perjalanan yang menyakitkan ini akan menjadikan beliau seorang pemimpin yang lebih kuat untuk rakyat.