Skip to content

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun perlu menyatakan samada wajar dari segi undang-undang untuk pihak polis menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Meta berhubung isu ‘troll farming’

Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun perlu menyatakan samada wajar dari segi undang-undang untuk pihak polis menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Meta berhubung isu ‘troll farming’ yang didakwa mengaitkan pihak PDRM sendiri.

Pada 6 Ogos lepas, dilaporkan bahawasanya terdapat dakwaan yang mengaitkan pihak PDRM dengan ‘troll farm’ yang menyokong pihak kerajaan serta membidas mereka yang tidak menyokong pihak kerajaan. Meta juga dikatakan melaporkan di dalam Laporan Quarterly Adversarial Threat Report 2022, bahawa kira-kira 1,000 akaun Facebook dan Instagram, serta kumpulan dan halaman Facebook, telah dihapuskan kerana melanggar dasar yang menghalang “coordinated inauthentic behavior”.

Dakwaan yang dibuat oleh Meta adalah perkara yang serius dan melibatkan kepentingan awam.

PDRM dengan secara terbukanya menafikan dakwaan tersebut dan mengambil langkah untuk mengadakan siasatan lanjut berkenaannya.

Pada 13 September, KPN Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah menyatakan walaupun Bukit Aman pada mulanya menafikan dakwaan tersebut, isu ini masih lagi dalam siasatan.

Walaupun siasatan terhadap isu ini adalah dialu-alukan, persoalannya adalah adakah wajar bagi pihak polis menyiasat perkara yang mereka sendiri dikatakan terlibat? Adalah penting juga untuk dipersoalkan sama ada terdapat kelewatan di dalam siasatan dan sekiranya ada, adakah ini kerana siasatan ini terbabit dengan siasatan dalaman yang mungkin terpalit dengan konflik?

Seterusnya, penting untuk diperhatikan bahawa PDRM telah menafikan dakwaan tersebut walaupun sebelum siasatan selesai. Tidakkah di dalam keadaan ini terdapat konflik di pihak PDRM untuk menyiasat perkara tersebut?

Peguam Negara harus memberi arahan agar siasatan bebas dilancarkan terhadap dakwaan ini. Individu-individu yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan PDRM dan dakwaan itu seharusnya memutuskan sama ada terdapat asas atau tidak ke atas dakwaan tersebut.

Memandangkan ini adalah isu berkepentingan awam yang melibatkan integriti pihak polis, adalah lebih baik jika sebarang siasatan sedemikian juga didedahkan kepada umum bagi meningkatkan ketelusan dan kredibiliti.