Pejabat Ahli Parlimen Kulai telah menganjurkan sebuah program bersama komuniti Parlimen Kulai di Felda Taib Andak. Program ini merangkumi serahan sumbangan 50 biji helmet kepada 50 orang pelajar SK Sinar Bahagia.
Disamping itu, kaunter bergerak PERKESO turut dibuka kepada orang ramai yang mahu mendaftar Skim Keselamatan Suri Rumah (SKSSR) yang ditaja oleh Pejabat Parlimen Kulai. Program ini juga turut menawarkan pendaftaran premium untuk aplikasi Whoscall yang boleh menyekat panggilan ‘spam’ secara automatik.
Program ini dimulakan dengan taklimat daripada Pegawai PERKESO Negeri Johor iaitu Puan Nurul Aina. Majlis diteruskan dengan taklimat berkaitan Anti Scam oleh INSP. Nurul Huda Binti Shohodin, Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kulai. Taklimat berkaitan keselamatan jalan raya pula telah disampaikan oleh ASP. Mohd Fazree Bin Mohd Ariff, Ketua Bahagian Siasatan & Penguatkuasaan Trafik dari IPD Kulai.
Sesi taklimat yang merangkumi pelbagai aspek ini diharapkan dapat membantu penduduk di sini dalam hal berkait pekerjaan mereka, mencegah daripada terjerumus sebagai mangsa jenayah scam dan juga mendedahkan masyarakat dengan aspek keselamatan di jalan raya yang penting dalam kehidupan mereka.
Majlis ini diserikan dengan kehadiran DSP. Mohd Kushairi Bin Abd Rahman, Timbalan Ketua Polis Daerah Kulai. Program turut dihadiri oleh Guru Besar SK Sinar Bahagia iaitu Pn. Zaifirus Sinar Suriati Binti Mahmud dan Tn. Hj Zulkifli Bin Salleh, Ketua Kampung Felda Taib Andak.
Program ini berjalan lancar dan meriah dengan sambutan daripada warga Felda Taib Andak terutamanya hampir 60 orang suri rumah yang mendaftar SKSSR PERKESO.
Sekalung penghargaan ditujukan khas kepada JPKK Felda Taib Andak, GPW Felda Taib Andak, IPD Kulai, SK Sinar Bahagia dan juga warga Felda Taib Andak.