Pejabat Tanah dan Daerah Manjung bersetuju untuk mengesyorkan hutan paya bakau di sepanjang Sungai Raja Hitam yang berdekatan dengan Kampung Baru Changkat Keruing sebagai hutan simpanan kekal untuk mencegah kemusnahan dan pencerobohan hutan paya bakau. Selain itu, pihak kerajaan memerlukan kerjasama penduduk tempatan agar kejadian pembalakan haram tidak diulangi.
Pada hari kelmarin, saya menghadiri mesyuarat khas yang dihoskan oleh Pegawai Daerah Manjung, Pejabat Tanah Daerah Manjung dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Pejabat Tanah dan Daerah Manjung akan mengesyorkan cadangan untuk mewartakan hutan paya bakau di Sungai Raja Hitam kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk buat kajian.
Hutan paya bakau berdekatan dengan Kampung Baru Changkat Keruing merupakan kawasan rizab JPS. Sekiranya hakmilik kawasan tersebut dipindahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri, maka Jabatan Perhutanan Negeri dapat mengurus dan menjaga hutan paya bakau Changkat Keruing dengan lebih efisien. Akta Perhutanan Negara 1984 memperuntukkan Jabatan Perhutanan Negeri kuasa untuk mengambil tindakan terhadap pesalahlaku dan memohon peruntukkan untuk menanam semula pokok paya bakau.
Kami menganggarkan ratusan pokok paya bakau telah ditebang secara haram dan jumlah ini tidak termasuk kawasan hutan yang digondolkan untuk membina ladang penternakan udang yang haram. Oleh sebab kawasan hutan paya bakau Changkat Keruing bukan hak milik jabatan Perhutanan Negeri, maka mereka tidak dapat memohon peruntukan.
Pegawai Daerah Manjung juga mencadangkan penduduk Changkat Keruing menubuhkan organisasi bukan kerajaan seperti Sahabat Paya Bakau untuk membantu pihak kerajaan memantau aktiviti di hutan paya bakau. Cadangan ini mengambil contoh organisasi yang ditubuhkan oleh penduduk di Sungai Tiram dan Lekir. Sekiranya penduduk medapati terdapat aktiviti yang mencurigakan, penduduk boleh menghubungi jabatan yang berkenaan untuk mengambil tindakan.
Pegawai Daerah Manjung mengizinkan penubuhan organisasi sukarelawan oleh penduduk tempatan dengan syarat surat rasmi dan senarai nama perlu dihantar kepada Pejabat Tanah dan Daerah Manjung dan Jabatan Perhutanan Negeri.
Penduduk Changkat Keruing berharap pihak berkuasa dapat lengkapkan laporan dengan secepat mungkin dan mendakwa pesalah laku yang menebang pokok paya bakau secara haram.