Skip to content

Pekebun Cameron Hantar 100 kotak sayur secara percuma ke Parlimen Harap kerajaan peka terhadap cabaran sektor pertanian

Berlandaskan semangat “berat sama dipukul, ringan sama dijinjing”, pekebun sayur Cameron Highlands mengumpul dan menghantar lebih daripada 100 kotak sayur-sayuran segar ke parlimen untuk diagihkan kepada staf parlimen secara percuma.

Pada masa yang sama, para pekebun Cameron Highlands berharap agar kerajaan dan ahli parlimen lebih mehamami cabaran yang dihadapi dalam sektor pertanian Cameron Highlands.

Setelah mengagihkan sayur-sayuran, saya dan wakil pekebun menghantar memorandum kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan YB Chan Foong Hin dan Ahli Dewan Negara YB Hatta Ramli dan berharap agar kerajaan akan memberi perhatian dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh para pekebun Cameron Highlands.

Sejak tahun 2020, kerajaan Negeri Pahang telah menawarkan sewaan tanah kepada para pekebun di Cameron Highlands bagi menggantikan Lesen Pendudukan Sementara (TOL). Namun, kadar sewaan telah meningkat secara mendadak, iaitu dari kira-kira RM800 seekar setahun (kadar TOL) hingga RM4,500 seekar setahun (kadar sewaan kini). Dengan kata lain, kadar kenaikan kadar adalah hampir 500 % dan amat membebankan para pekebun.

Selain itu, tempoh sewaan 3+2 tahun yang ditawarkan juga amat singkat dan tidak dapat memberi keyakinan kepada para pekebun untuk melaburkan masa, tenaga, dan duit yang mencukupi untuk meningkatkan atau memodenkan kaedah pertanian.

Kadar sewaan tanah yang tinggi dan kekurangan sekuriti tanah di Cameron Highlands menyebabkan para pekebun terpaksa menanggung kos yang tinggi dan risiko, maka majoriti daripada mereka akan rasa khuatir dan tidak berani melaburkan masa dan duit yang mencukupi dalam sektor pertanian. Dalam jangka masa panjang, keadaan ini akan menjadikan halangan kritikal terhadap usaha pelbagai pihak untuk meningkatkan tahap dan mutu pertanian negara kita serta menyukarkan pelaksanaan pelan kerajaan untuk meningkatkan tahap sekuriti makanan dan tahap sara diri (self-sufficiency).

Pada masa yang sama, terdapat masalah lain yang turut membelenggu sektor pertanian di Cameron Highlands serta di seluruh Malaysia, termasuk harga hasil tanaman yang tidak stabil dan kos pertanian seperti kos baja dan racun serangga yang kian meningkat.

Sehubungan dengan itu, Pengerusi Cawangan DAP Bandar Baru Brinchang Go Mong Nging, yang juga merupakan pekebun, mengatakan bahawa ketika musim hujan, bekalan hasil tanaman akan berkurangan dan harga akan meningkat. Namun, ramai pekebun tidak dapat menuai hasil tanaman yang mencukupi.

Sebaliknya, apabila cuaca bertambah baik, bekalan hasil tanaman bertambah dan harga menurun. Maka, ramai pekebun kecil tidak mampu mencapai tahap pulang modal (break-even) dan mungkin mengalami kerugian.

Walaupun punca cuaca adalah punca yang sukar ditentukan, kerajaan boleh membantu mengurangkan beban pekebun dari segi kos pertanian seperti baja dan biji benih agar mengurangkan risiko yang perlu dihadapi oleh pekebun dan menggalakkan mereka untuk terus bercucuk tanam.

Akhir sekali, saya menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang agar menggembleng tenaga untuk menjamin keselamatan pegangan tanah (land tenure security) dan mengurangkan impak negatif yang dibawa oleh kenaikan kos pertanian demi merancakkan perkembangan “industry upscaling”, meningkatkan kadar sara diri (self-sufficiency ratio), serta meningkatkan tahap daya saing sektor pertanian negara kita di persada dunia.