Menteri Kewangan Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah memberikan satu pengemaskinian terkini berkenaan dengan pelaksanaan Program Prihatin dan PENJANA yang melibatkan 80 initiatif seperti yang diumumkan.
Beliau telah gagal menyentuh berkenaan dengan kegagalan dari segi kecekapan pelaksanaan Kerajaan PN yang merupakan suatu elemen yang amat kritikal untuk memastikan bantuan kepada Rakyat dapat dioptimumkan.
Semasa ucapan PENJANA pada 5 Jun 2020, Perdana Menteri Tan Sri Muhyddin Yassin telah mengumumkan pengembalian Kempen Pemilikan Rumah (House Ownership Campaign) yang sebelum ini diperkenalkan oleh Kerajaan PH pada tahun 2019 dengan pengecualian duti setem untuk pembelian rumah kediaman yang bernilai antara RM300,000 hingga RM2.5 juta (“HOC 2020”). HOC 2020 ini berkuatkuasa bagi perjanjian jual beli yang ditandatangani mulai 1 Jun 2020 hingga 31 Mei 2021.
Perdana Menteri juga mengumumkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) diberikan kepada individu warganegara Malaysia ke atas pelupusan rumah kediaman yang dibuat mulai 1 Jun 2020 sehingga 31 Disember 2021, terhad kepada tiga unit rumah kediaman untuk setiap individu.
Kedua-dua initiatif di atas adalah penting untuk mengiatkan pasaran jual beli hartanah.
Walaupun sudah 6 minggu pengumuman di atas dibuat, sehingga hari ini pelaksanaannya masih belum lagi disempurnakan dan Rakyat masih tidak dapat menikmati hasil initiatif-initiatif tersebut. Warta Kerajaan untuk kedua-dua HOC 2020 dan Pengecualian CKHT masih belum diterbitkan oleh pihak Kerajaan walaupun pelaksaannya sepatutnya bermula pada 1 Jun 2020.
Penerbitan Warta Kerajaan tersebut adalah amat penting. Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) yang bertanggungjawab untuk mengeluarkan Sijil Pengecualian Duti Stamp (Certification for Stamp Duty Waiver) masih tidak dapat memproses perohonan-permohonan dari Pemaju dan Pembeli tanpa penerbitan Warta Kerajaan untuk HOC 2020. Kelewatan ini bukan sahaja mendatangkan kekeliruan malah menyebabkan Perjanjian-Perjanjian tidak dapat ditandatangani, atau Borang Pindahmilik 14A tidak dapat disetemkan.
Situasi adalah sama dengan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT). Kekeliruan timbul dari segi pelaksanaan dengan ketiadaan Warta Kerajaan yang sepatutnya menggariskan maklumat-maklumat terperinci syarat-syarat kelulusan pengecualian. Ini sejurusnya telah menyebabkan ramai lagi yang ingin melupuskan hartanah mereka mengambil satu sikap yang lebih konservatif untuk “duduk dan pandang” (wait and see) sehingga semua kekeliruan diperjelaskan.
Adalah menjadi norma bagi Warta-warta Kerajaan tersebut harus diterbitkan sebelum pelaksanaan sesuatu polisi baharu, atau sejurus selepas pengumuman polisi dibuat. Contohnya, pada tahun 2019, suatu Warta Kerajaan berkenaan dengan polisi baharu CKHT yang bakal dilaksanakan pada 1 Jan 2019 telah diterbitkan pada 21 Disember 2018, iaitu 10 hari sebelum pelaksanaannya. [Ruj: Perintah Cukai Keuntungan Harta Tanah (Pengecualian) 2018 P.U.(A) 360 oleh Mantan Menteri Kewangan Lim Guan Eng].
Kerajaan PN telah membazirkan masa 6 minggu yang sepatutnya dianggap sebagai waktu keemasan untuk merangsang kegiatan jual beli hartanah dan membantu memesatkan ekonomi pada masa pandemic Covid-19 ini.
Kenapa suatu kelewatan yang begitu serius boleh berlaku walaupun pada masa yang sama, Kerajaan PN boleh begitu cekap dan efisien dalam membuat lantikan hampir semua Ahli-Ahli Parlimennya ke GLC-GLC dan agensi-agensi Kerajaan? Jelas, Kerajaan PN telah gagal untuk menentukan yang mana satu perkara perlu diberikan keutamaan dan disegerakan.