Semasa hadir ke pejabat YB Tuan Haji Ayub, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Johor untuk membincangkan isu pelaksanaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) Pindaan 2019, saya mencadangkan penyediaan garis panduan nasional yang selaras oleh Kementerian Sumber Manusia.
Akta 466 adalah kurang sesuai jika dilaksanakan dengan ketat pada tempoh pandemik Covid-19 kerana pihak majikan masih terkesan akibat ekonomi yang masih belum pulih daripada impak negatif pandemik.
Oleh itu, pelaksanaan akta harus mengikut tahap kebolehlaksanaan tetapi bukan secara keras dan ketat.
Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan Dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dipinda telah mula berkuatkuasa 1 Jun 2020. Tiga bulan tempoh kelonggaran telah diberikan kepada pihak majikan sehingga September 2020, dan telah diperkuatkuasa secara ketat oleh kerajaan di seluruh negara kini.
Di sesetengah bandar peringkat kedua di negara kita, tidak tersedia asrama dengan ukuran luas dalam pasaran perumahan, oleh itu ia adalah sukar bagi pihak majikan menyediakan asrama baharu yang dapat mencapai standard minimum Akta 466.
Hakikatnya, kebanyakan asrama pekerja adalah diubahsuai daripada rumah kedai yang uzur. Sekiranya majikan mengosongkan rumah kedai yang sedia ada dan pindah ke asrama pekerja baru akan menyebabkan rumah kedai tersebut terbiar, dan menimbulkan isu pasaran perumahan pula.
Memandangkan terdapat banyak masalah yang serius dalam kebolehlaksanaan Akta 466, dan juga memberi impak negatif yang besar terhadap pemulihan ekonomi, saya meminta perhatian diberikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Ia harus diperbetulkan dengan penyediaan garis panduan pelaksanaan nasional yang selaras oleh Kementerian Sumber Manusia.
Isu asrama pekerja asing harus ditangani dengan toleransi, terutamanya di bandar peringkat kedua yang tidak tersedia dengan asrama yang dapat memenuhi syarat supaya tidak membebankan pihak majikan yang berhadapan impak ekonomi akibat wabak COVID-19 .
Dalam perbincangan dengan Tuan Haji Ayub, saya mengutarakan empat cadangan berkenaan kebolehlaksanaan Akta 466, iaitu:
- PBT boleh membekalkan pelan bangunan yang seragam kepada pihak majikan untuk sebarang ubahsuai supaya tidak perlu membayar yuran perundingan kepada arkitek bagi penyediaan pelan bangunan baru.
- PBT harus menyediakan kadar bayaran yang standard dan pelan bangunan yang selaras, supaya urusan permohonan pihak majikan akan dipermudahkan dan tidak berhadapan dengan risiko rasuah.
- Kelonggaran dalam penyediaan dokumen permohonan asrama pekerja. Contohnya, sijil CCC boleh diganti dengan resit cukai taksiran kerana banyak kedai rumah yang berpuluh-puluh tahun mungkin tidak dapat sediakan sijil CCC.
- PBT dan Kementerian Sumber Manusia harus memberi nasihat dan cadangan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil dan saman diisu.
Pada 14 Januari 2020, saya juga berjumpa dengan bekas Menteri Sumber Manusia, YB M. Kula Segaran dan berbincang tentang isu asrama buruh asing sektor pertanian, di mana Sijil Layak Menduduki (Certificate Of Fitness, CF) harus dimansuhkan.
Pada 12 Mac 2020, surat dihantar kepada Majlis Perbandaran Kluang (MPK) oleh Pejabat ADUN Mengkibol berkenaan isu asrama pekerja asing. Dalam surat tersebut, saya meminta kebenaran MPK dalam penyerahan pelan lantai bangunan asrama warga asing tanpa mekalui arkitek, perunding atau orang perantaraan supaya kos urusan pihak pemilik asrama dapat dikurangkan.