Skip to content

Pelaksanaan enakmen pendanaan politik

Dewan Negeri boleh menubuh Jawatankuasa Khas untuk membincangkan pelaksanakan Enakmen ini di peringkat negeri. Pendanaan Politik Awam mampu mengelakkan ahli politik daripada dipengaruhi oleh pihak ketiga dan meningkatkan integriti ahli politik.

Pada 24 September 2022 Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan Akta Sumbangan Politik akan dibawa untuk perbincangan di Dewan Rakyat pada awal November.

Namun parlimen telah dibubarkan pada 10 Oktober 2022. Akta yang dibentangkan di Parlimen tidak merangkumi untuk pelaksanaan di peringkat negeri. Oleh yang demikian Mengkibol mencadangkan dewan yang mulia ini mengambil langkah proaktif untuk membincangkan pelaksanakan Enakmen ini di peringkat negeri.

Jawatankuasa ini perlu melibatkan penggubal undang-undang daripada pihak kerajaan dan pembangkang dan berfungsi untuk membincangkan keperluan dan kaedah pelaksanaan Akta Sumbangan Politik dan berharap ia dapat dibawa ke Sidang Dewan Negeri Johor yang akan datang, dan menjadi negeri pertama yang meluluskan Enakmen Politik ini.

Pendanaan Awam atau pendanaan politik perlu mengambil kira jumlah pengundi disatu-satu kawasan. Selain itu, calon parti yang kalah juga mungkin mendapat sokongan ramai pengundi, oleh itu kerajaan juga perlu menyediakan dana awam bagi menyelenggara pusat perkhidmatan.

Pendanaan Politik mampu mengelakkan ahli politik daripada dipengaruhi oleh pihak ketiga yang memberikan sumbangan untuk program-program politik. Sekaligus meningkatkan integriti ahli politik.

Johor mempunyai 2.6 Juta pengundi, menurut kajian beberapa NGO dan badan pemikir, jika setiap undi dikira RM5, maka kerajaan negeri memerlukan bajet sebanyak RM 13 juta untuk dana awam politik.