Skip to content

Pelaksanaan saringan pekerja-pekerja kilang warganegara serta bukan warganegara diperketatkan

Kerajaan Negeri Pulau Pinang inginkan pelaksanaan saringan pekerja-pekerja kilang warganegara serta bukan warganegara diperketatkan supaya tindakan pengesanan kontak (contact tracing) dan rawatan (treatment) dapat dilaksanakan bagi memutuskan rangkaian jangkitan pandemik COVID-19 dalam kalangan rakyat negeri ini khasnya.

Data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sehingga 20 Januari 2021 menunjukkan bahawa daripada jumlah 128,889 pekerja asing yang berdaftar di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 7 Disember 2020 di Pulau Pinang, hanya 19,792 orang yang telah menjalani ujian saringan COVID-19. Sebagai tambahan, pada tempoh masa sama juga seramai 13,336 pekerja asing telah disaring hasil inisiatif majikan sendiri menjadikan jumlah telah disaring kini ialah 33,128 orang. Ini menjadikan kadar positiviti adalah berjumlah 3.22 peratus.

Justeru, tindakan proaktif adalah perlu dilakukan ketika ini.

Menurut data JKNPP juga, peratusan pecahan kes COVID-19 mengikut sektor pekerjaan adalah 49 peratus daripada pekerja kilang dan industri; pekerja tapak binaan (3 peratus) dan lain-lain pekerjaan serta tidak bekerja (30 peratus).

Oleh itu, kita mahu melihat Kerajaan Persekutuan yang diberi kuasa Darurat dapat meningkatkan sumber aset dan tenaga bagi mengawal penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan rakyat negeri Pulau Pinang secara lebih berkesan.