Skip to content

PELAKSANAAN TARIF BAHARU AIR DITANGGUH SEHINGGA 1 JULAI 2026

PULAU PINANG, Jumaat, 1.8.2025: Pelaksanaan pelarasan tarif air di bawah Mekanisme Penetapan Tarif (Tariff Setting Mechanism – TSM) bagi Tempoh Pelaksanaan Kedua (TP2), yang dijadual berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025, hanya akan mula dilaksanakan di negeri ini pada 1 Julai 2026.

Umumnya, penangguhan tarif air selama setahun ini bakal memberi manfaat kepada 715,957 pengguna air di Pulau Pinang.

Bagi tarif baharu, purata kenaikan bil air untuk 79.88 peratus daripada 613,660 pengguna domestik (isi rumah) Pulau Pinang yang menggunakan sehingga 35 meter padu (m³) sebulan adalah antara RM0.30 dan RM2.55 sebulan. Manakala, purata kenaikan bil air bagi 95.38 peratus daripada 98,155 pengguna bukan domestik (perniagaan) Pulau Pinang yang menggunakan sehingga 200m³ sebulan adalah antara RM3.60 dan RM35.70 sebulan.

Umumnya, tarif baharu ini bakal meningkatkan hasil Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kira-kira RM20 juta selama enam (6) bulan pada tahun 2026, yang mana ia akan digunakan untuk projek-projek menaik taraf perkhidmatan bekalan air secara keseluruhan yang bakal diumumkan butirannya kelak.