Skip to content

Pelan induk pengangkutan awam Johor perlu dirangka segera oleh agensi baru yang memantau infrastruktur serta perkhidmatan pengangkutan awam seluruh negeri Johor

Saya mengalu-alukan penubuhan sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk memantau infrastruktur serta perkhidmatan pengangkutan awam seluruh negeri Johor.

Menurut matlumat dari Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM), agensi ini yang dulunya hanya memantau wilayah Iskandar Malaysia sahaja, akan diberi peranan baru agar pengangkutan awam seluruh negeri Johor turut dijaga olehnya.

Justeru, saya berasa amat bersyukur kerana cadangan yang telah saya bangkitkan beberapa kali dalam sidang dewan akhirnya diterima oleh kerajaan negeri Johor. Isu pengangkutan awam adalah isu pertama yang saya bangkitkan dalam perbahasan kali pertama selepas pilihanraya umum ke-13.

Walaubagaimanapun, saya suka mengingatkan pihak berkenaan bahawa keperluan perkhidmatan pengangkutan awam di negeri Johor akan menjadi isu yang kritikal seandainya tiada perancangan yang lebih holistik.

Pihak DAP telah menyediakan satu memorandum pengangkutan awam untuk negeri Johor. Malah, kami mencadangkan supaya setiap negeri membuat satu pelan induk pengangkutan awam selaras dengan perancangan kebangsaan.

Melihat kepada infrastruktur sedia ada dan masalah yang kita hadapi, pihak DAP mengemukakan cadangan seperti berikut agar sistem pengangkutan awam negeri Johor dinaiktaraf supaya dapat menjadi model bagi seluruh negara:

A. Memulihkan perkhidmatan keretapi yang menghubungkan kota-kota dan pekan-pekan Johor. Dengan landasan keretapi sedia ada dan projek landasan berkembar, keretapi seharusnya dirancang sebagai sistem pengangkutan awam utama di Johor.

B. Bekerjasama dengan pemaju-pemaju agar perkhidmatan bas pengantara ditawarkan sebaik sahaja sesebuah kawasan perumahan siap dibina.

C. Memantau pembinaan projek landasan berkembar dari Gemas ke Johor Bahru serta memastikan projek tersebut siap dilancarkan pada tahun 2015.

D. Melaksanakan sistem Komuter di Wilayah Iskandar Malaysia dengan landasan berkembar agar lebih ramai penduduk mendapat manfaat dari pembangungan infrastruktur di wilayah ini.