Skip to content

Pelan menyeluruh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia adalah perlu dibentangkan pada kadar segera

Salam sejahtera rakyat Pulau Pinang dikasihi.

Pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) secara sidang video sebentar tadi, saya telah menegaskan bahawa pelan menyeluruh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah perlu dibentangkan pada kadar segera sebagaimana persetujuan YAB Perdana Menteri pada mesyuarat bertarikh 20 Januari lalu.

Pelan menyeluruh atau ‘grand plan’ berkaitan adalah perlu bagi memperkasakan komponen penting iaitu pendekatan 3T (testing, saringan secara besar-besaran; tracing, mengenal pasti dan treating, merawat) meliputi pengurusan sumber pusat-pusat perubatan awam negara, kapasiti makmal bagi proses saringan, status Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah, integrasi dengan sektor swasta dan lain-lain berkaitan.

Adalah ditegaskan bahawa pelan tersebut amat diperlukan bagi memperhebatkan sebarang inisiatif serta tindakan yang telah mendatangkan kesan positif, dan pada masa sama memperhalusi sebarang kelemahan dikenal pasti bagi memastikan kita mencapai kejayaan dalam pertempuran ini.

Serentak itu, saya juga berpendapat bahawa setiap Kerajaan Negeri perlu memainkan peranan dalam mengetatkan setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Pusat dan bukan melonggarkan ia terutamanya dalam mematahkan rantaian pandemik COVID-19 secara menyeluruh.

Dalam perkembagan lain, Kerajaan Negeri melahirkan kekesalan berhubung kelulusan perarakan Thaipusam dari Lebuh Penang pada awal pagi ini walaupun keputusan tegas telah diputuskan sebelum ini di peringkat negeri. Adalah dikhuatirkan perkara sebegini akan mengundang kepada ketidakpatuhan sambutan lain-lain perayaan juga.