Hotel Royal Penang adalah hotel terkenal terbaru di Pulau Pinang yang ditutup setelah penutupan Hotel Equatorial dan Holiday Inn Resort bertaraf 5 bintang, kerana kegagalan Kerajaan Persekutuan menyelamatkan industri pelancongan dan perhotelan akibat pelaksanaan “total lockdown” berikutan COVID-19. Hotel perniagaan empat bintang dengan 276 bilik ini akan ditutup menjelang November menyebabkan ratusan pekerja hilang kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Yap Lip Seng mengatakan bahawa industri perhotelan telah kerugian lebih daripada RM11.3 bilion dengan lebih 120 hotel telah ditutup. Laporan MAH bagi bulan Jun menunjukkan bahawa industri mencapai kadar purata harian (ADR) RM190 dan kadar purata penghunian (AOR) 32% pada tahun 2020. ADR untuk 2021 diunjurkan berada dalam lingkungan RM180 hingga RM190, sedangkan AOR dijangka jauh lebih buruk daripada tahun lalu, pada 23%. Ini adalah prospek yang menakutkan ketika industri pelancongan telah kerugian RM100 bilion tahun lalu.
Lapan pakej rangsangan ekonomi Kerajaan PN berjumlah RM530 bilion gagal membantu industri pelancongan bukan sahaja dalam bentuk geran kewangan yang sangat diperlukan tetapi juga ketidakupayaan Menteri Pelancongan untuk membantu mereka bertahan menghadapi kerugian RM100 bilion tahun lalu. Menawarkan pinjaman dan potongan cukai atau rebat tidak bermakna apabila tidak ada sebarang hasil atau perniagaan.
Dengan suntikan tunai RM 45 bilion yang dicadangkan oleh PH dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan dalam Memorandum Persefahaman (MOU) bagi Transformasi dan Kestabilan antara Perdana Menteri dan empat pemimpin tertinggi Pakatan Harapan di Dewan Parlimen pada 13 September 2021, Kementerian Kewangan sepatutnya dapat memberikan bantuan kewangan yang sangat diperlukan. Industri pelancongan terlalu penting untuk diabaikan atau ditinggalkan tanpa sebarang bantuan kewangan bersepadu.
Menurut Jabatan Perangkaan, Nilai Tambah Kasar Industri Pelancongan (GVATI) pada tahun 2019 telah mencatat sumbangan sebanyak 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) berjumlah RM240 bilion. Sebagai permulaan bagi suntikan bantuan kewangan RM45 bilion seperti dalam MOU, kerajaan perlu menggandakan program subsidi upah untuk semua pekerja industri pelancongan, menawarkan moratorium pinjaman bank tanpa faedah, geran perniagaan, sewa dan subsidi utiliti. Walaupun kita masih boleh berdebat mengenai jumlah yang akan diberikan, masalahnya sekarang adalah jika tidak ada langsung yang ditawarkan, tidak ada apa yang boleh diharapkan dapat bertahan.