Skip to content

Pelancaran 100 Duta Belia untuk Tindakan Iklim

Kita semua tahu Perubahan Iklim adalah satu isu global. Selama beberapa dekad, DAP telah memperjuangkan agenda perubahan iklim dan merupakan parti politik pertama di Malaysia yang menggariskan dasar yang jelas mengenai perubahan iklim. Walaupun masa kita dalam kerajaan tidak lama, Pakatan Harapan (PH) telah mendedikasikan satu kementerian untuk membangun dan melaksanakan dasar berkaitan perubahan iklim.

Ini kerana kita memahami betapa seriusnya ancaman perubahan iklim dan pemanasan global kepada dunia kita. Perubahan iklim dianggap sebagai salah satu daripada dua ancaman kritikal terhadap kewujudan bangsa manusia – selepas senjata nuklear dan mungkin yang ketiga, secara tidak langsung adalah rasuah. Ini adalah bukti betapa seriusnya isu perubahan iklim.

Memang benar bahawa kita sedang melawan satu pandemik. Tetapi vaksin untuk pandemik ini telah dihasilkan dan sedang diagihkan, walaupun terlambat dua bulan kerana ketidakcekapan dan ketidakmampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun demikian, kita tidak mempunyai vaksin untuk perubahan iklim. Satu-satunya senjata kita untuk menentang perubahan iklim adalah diri kita sendiri, tindakan kita sebagai masyarakat.

Perjanjian Paris telah dirangka pada tahun 2015 dengan tujuan untuk menjaga kenaikan suhu global hingga kurang dari 2 darjah Celsius di atas tahap pra-industri, dan untuk meneruskan usaha bah menghadkan pemanasan hingga 1.5C. Sejak 2015, 190 negara telah meratifikasi perjanjian tersebut, termasuk Malaysia, masing-masing memberikan komitmen terhadap sumbangan negara yang ditentukan (nationally determined contribution – NDC) – yakni, sasaran pengurangan pelepasan dan rancangan untuk mencapainya.

Apabila Donald Trump menjadi Presiden, beliau telah mengejutkan dunia dengan menarik keluar AS dari Perjanjian Paris dengan alasan bahawa AS menderita secara tidak adil dari segi ekonomi. Dengan pelantikan Joe Biden sebagai Presiden AS ke-46, Biden telah membuat komitmen semula AS kepada Perjanjian Paris. Mudah-mudahan, keputusan Biden akan membawa kita ke arah dunia yang lebih rasional, berdasarkan sains dan fakta yang bersedia untuk menghadapi cabaran perubahan iklim.

Oleh itu, saya dengan sukacitanya melancarkan 100 Duta Belia untuk Tindakan Iklim hari ini. Ini adalah kempen unik yang menggerakkan seluruh masyarakat untuk memerangi perubahan iklim. Saya percaya bahawa sebagai sebuah negara, kita perlu melakukan lebih banyak perkara untuk melawan kesan buruk dari perubahan iklim. Malaysia juga terdedah sama; dengan keadaan cuaca yang tidak menentu dan banjir dahsyat yang sering kita hadapi.

Ketika PH memegang Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang dipimpin oleh Yeo Bee Yin, kita telah menggerakan banyak agenda perubahan iklim seperti yang telah beliau jelaskan sebelum ini. Kita telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan dipuji kerana memperjuangkan isu perubahan iklim di pentas dunia.

Kami menghentikan pembuangan sampah plastik ke negara kita. Kami komited untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna. Tetapi agenda terbesar kami adalah untuk memajukan tenaga boleh diperbaharui (renewable energy – RE) dengan matlamat yang bercita-cita tinggi untuk meningkatkan sasaran RE bagi campuran elektrik dari 2% menjadi 20% menjelang 2025, yang boleh dikatakan merupakan usaha paling agresif di Asia.

Mempercepat perlaksanaan RE akan mendorong pertumbuhan ekonomi, menciptakan peluang pekerjaan baru, meningkatkan kesejahteraan manusia, dan menyumbang pada masa depan yang selamat untuk iklim. Dianggarkan bahawa menggandakan penggunaan RE dapat meningkatkan KDNK global pada tahun 2030 hingga 1.1%, bersamaan dengan USD1.3 trilion. Memandangkan sifat RE yang teragih dan tinggi tenaga kerja, pekerjaan langsung dan tidak langsung di sektor RE dapat mencecah 24.4 juta orang pada tahun 2030.

Kerajaan PH dengan bercita-cita besar mengejar peningkatan sasaran RE sebanyak 20% bagi campuran elektrik menjelang 2025. Ini dapat menghasilkan pelaburan swasta bernilai RM33 bilion dan tambahan 50,000 pekerjaan RE. Malangnya, kerajaan PN yang tidak dipilih nampaknya telah memilih untuk tidak meneruskan matlamat ini.

Kita tidak boleh duduk dan menunggu kerajaan PN yang tidak dipilih ini untuk bangun dari tidur dan melakukan perkara yang sepatutnya. Sebagai sebuah komuniti, kita perlu bersatu untuk menyelamatkan umat manusia dan mewariskan alam semula jadi kepada generasi akan datang. Syabas kepada ADUN DAP bagi Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran kerana memulakan usaha mulia ini. Saya harap, dengan pelancaran 100 Duta Belia untuk Tindakan Iklim, kita akan mewujudkan generasi pahlawan eko yang akan memimpin jalan menuju masa depan iklim yang lebih bersih dan lebih hijau.