Skip to content

Pelancaran badan peronda sukarela dan kemudahan Apps “BPS.COMM.HELP.”

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan impian untuk mewujudkan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat. Memegang tegas terhadap prinsip ini, kita telah mewujudkan semangat jiran tetangga dan komuniti melalui Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Komuniti.

Walaupun cabaran pelaksanaannya agak sukar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang terus berpegang teguh dengan prinsip ini agar keselamatan penduduk di negeri Pulau Pinang harus lebih terjamin. Kerajaan Negeri menghargai usaha pihak polis mengurangkan jenayah. Hasrat rakyat ialah untuk memastikan bukan sahaja Pulau Pinang selamat tetapi juga rasa selamat. Ini boleh tercapai dengan sokongan masyarakat yang memberikan maklumat dan juga kerjasama selaras dengan prinsip “ orang tempatan adalah penjaga keselamatan yang paling baik.”

JKKK akan dipertanggungjawabkan tugas penting menjaga keselamatan ini kerana JKKK adalah ditubuhkan oleh Kerajaan untuk penduduk setempat atau kawasan kejiranan tersebut. Badan Peronda Sukarela merupakan badan penting yang merupakan benteng pertama dalam tugas penyelamat dan pencegahan cepat yang ditubuhkan di bawah Biro Kebajikan, Perpaduan dan Perhubungan Masyarakat.

Penubuhan BPS telah diteliti dengan rapi termasuk YB Penasihat Undang-undang agar ia memenuhi semua keperluan undang-undang. Menerusi kaedah ini, sekiranya berlaku kecemasan, bantuan segera dapat disalurkan dengan mudah dan cepat. Di samping itu, kaedah pengurusan bencana juga akan dikaji semula bagi memastikan pasukan tindakan segera (immediate response team) sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan.

Melalui JKKK semua profil kampung-kampung (di dalam kawasan) akan direkodkan. Sebagai contoh, sekiranya berlaku bencana banjir maklumat profil kampung yang terlibat akan disalurkan oleh JKKK kepada BPS untuk tindakan pantas menghulurkan bantuan dari segi makanan. Ini kerana data dan maklumat bilangan ahli isi rumah telah dapat diperolehi dalam sistem dan jumlah bantuan dan bekalan makanan yang tepat untuk setiap rumah dapat disalurkan dengan segera. Rakyat Pulau Pinang juga diberi kemudahan APPS yang dikenali sebagai BPS.COMM.HELP. yang akan dilancarkan hari ini.

BPS merupakan satu penstrukturan semula sistem penyampaian khidmat kerajaan menerusi JKKK kepada orang awam khususnya dari sudut keselamatan. Pelaksanaannya adalah selaras dengan usaha kepolisan masyarakat (Community policing) yang digalakkan oleh PDRM untuk menyokong pihak polis mengurangkan jenayah. Marilah kita bersama dengan semua pertubuhan dari segala lapisan masyarakat menuju ke arah menyokong usaha PDRM menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang paling selamat di Malaysia.