Skip to content

PELANCARAN SANDBOX MIKROMOBILITI DI KAWASAN KOMERSIAL SS15

Pelaksanaan rasmi sandbox mikromobiliti di kawasan komersial SS15 hari ini menandakan satu lonjakan penting dalam usaha membina sistem pengangkutan bandar yang lebih lestari, cekap dan berorientasikan rakyat. Ia bukan sekadar memperkenalkan mod pengangkutan baharu, tetapi satu percubaan berani untuk mengubah cara kita bergerak di bandar – lebih hijau, lebih mudah dan lebih inklusif.

Inisiatif ini bermula sejak Disember 2023 apabila syarikat BEAM telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk melaksanakan perkhidmatan e-scooter mikromobiliti di Subang Jaya.

Pada bulan yang sama, Jabatan Kejuruteraan MBSJ bersama BEAM telah menjalankan survei ketersediaan infrastruktur di tapak. Hasil daripada penilaian ini, beberapa penambahbaikan infrastruktur telahpun dilaksanakan bagi memastikan laluan lebih selamat dan sesuai untuk pengguna mikromobiliti.

Seterusnya, pada Jun 2024, MBSJ telah meluluskan pelaksanaan sandbox mikromobiliti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Bandar dengan menerimakapai Garis Panduan Perancangan Laluan Kenderaan Mikromobiliti Di Peringkat Negeri Selangor. Ini menandakan komitmen Majlis untuk menguji model pengangkutan baharu dalam persekitaran yang terkawal dan dipantau.

Pada Januari 2025, MBSJ telah berjaya memperolehi kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan Malaysia untuk melaksanakan sandbox ini bagi tempoh satu tahun, bermula 1 Februari 2025 hingga 31 Januari 2027.

Selepas itu, Jabatan Lesen MBSJ pula telah meluluskan dasar baharu untuk melesenkan syarikat e-mobiliti yang ingin membekalkan perkhidmatan mikromobiliti, bagi memastikan operasi berjalan secara tersusun, selamat dan berpatuh kepada peraturan.

Pejabat ADUN Subang Jaya juga telah mengambil langkah awal menyokong inisiatif ini melalui pelaksanaan Fasa 1 dan Fasa 2 laluan basikal, dengan menggunakan peruntukan Projek Selangor Penyayang daripada Kerajaan Negeri Selangor. Ini dilakukan dengan jangkaan bahawa sandbox mikromobiliti akan dilaksanakan. Fasa 1 melibatkan penyambungan kawasan SS16 ke SS15, manakala Fasa 2 melibatkan penambahbaikan keselamatan laluan basikal Fasa 1, di samping menambah laluan basikal di SS14 dan SS18 atas permintaan penduduk di sana.

Fasa 3 akan dilaksanakan pada tahun ini untuk menyambung SS19 ke SS12, dan kini sedang dalam perbincangan bersama MBSJ dan Bike Commute bagi tujuan rekabentuk laluan yang selamat dan praktikal.

Kawasan SS15 berdepan masalah serius kekurangan tempat letak kereta. Tambahan pula dengan pembangunan sedia ada di kawasan tersebut, tiada ruang fizikal untuk membina parkir tambahan. Walaupun MBSJ telah melaksanakan sistem parkir 2 jam bagi meningkatkan kadar ‘turnover’ tempat letak kereta di SS15, masalah ketidakcukupan parkir di SS15 masih wujud. Oleh itu, ia adalah tanggungjawab kita sebagai pembuat dasar untuk membekalkan alternatif mod pengangkutan kepada pengunjung.

Sebelum ini, SS15 sudah mempunyai akses kepada LRT, bas dan laluan pejalan kaki. Dengan penambahbaikan infrastruktur basikal dan kemasukan BEAM sebagai pembekal perkhidmatan mikromobiliti, pengunjung ke SS15 kini mempunyai dua lagi pilihan mod pengangkutan alternatif yang lebih fleksibel dan mesra alam.

Sandbox mikromobiliti ini juga penting sebagai medan ujian dasar. Sepanjang tempoh dua tahun ini, data akan dikumpul berkaitan tahap penggunaan, corak perjalanan, isu keselamatan dan penerimaan masyarakat. Semua maklum balas ini akan digunakan untuk menambah baik dasar, peraturan dan reka bentuk infrastruktur sebelum ia diperluaskan ke kawasan lain.

Inisiatif ini turut menyumbang kepada agenda kelestarian negeri dan negara, khususnya dalam mengurangkan pelepasan karbon, menggalakkan perjalanan jarak dekat tanpa kenderaan bermotor, serta menyokong gaya hidup lebih aktif dan sihat dalam kalangan penduduk bandar.

Saya berharap sandbox mikromobiliti ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesesakan dan masalah parkir di SS15, tetapi juga membentuk budaya mobiliti baharu yang lebih hijau, sihat dan mampan untuk Subang Jaya.

Jika sandbox mikromobiliti di SS15 berjaya, saya berharap agar mod pengangkutan alternatif ini boleh diperluaskan di kawasan lain di Subang Jaya supaya lebih ramai penduduk dan peniaga dapat menikmati manfaatnya – daripada perjalanan yang lebih mudah, kos yang lebih rendah, sehinggalah persekitaran bandar yang lebih bersih dan berkualiti.