Skip to content

Pelanjutan PKP buktikan rejim PN gagal Peniaga kecil dan rakyat paling terkesan

Rejim Perikatan Nasional (PN) telah gagal mengawal wabak Covid-19 dan menyebabkan negara kita terpaksa terus melaksanakan PKP (Total Lockdown) walaupun dah hampir sebulan dalam menguatkuasakannya namun masih tidak menampakkan sebarang hasil.

Jumlah kes Covid-19 keseluruhan telah menghampiri 740,000 kes dan jumlah kematian Covid-19 telah mencecah 5,000 orang. Angka tersebut masih tidak pernah dikurangkan di bawah 4,000 kes sehari walaupun kerajaan PN secara senyapnya sudahpun mengurangkan jumlah ujian saringan.

Tatkala peniaga kecil dalam pekan telah mengorbankan diri dengan tidak membuka kedai demi bersama dalam mengurangkan jangkitan Covid-19, kluster tempat kerja tidak pernah berkurangan. Sehingga 14 Jun 2021,telah terdapatnya 1,328 kluster tempat kerja dan sektor perkilangan telah menyumbang sebanyak 639 kluster dalam pada itu dan ini membuktikan bahawa sektor perkilangan yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP ini adalah penyebab utama peningkatan kes Covid-19.

Rejim PN seolah-olah lebih gemar menutup sektor atau bidang yang tidak pernah mencetuskan apa-apa kluster dengan menggunakan alasan bahawa bidang-bidang tersebut bukanlah keperluan utama dan akibatnya kebanyakan peniaga telah dibinasakan dari segi ekonomi akibat keputusan kerajaan PN tersebut.

Ketika rakyat sedang bergelut mencari nafkah demi menyediakan makanan untuk ahli keluarganya, rejim PN masih meneruskan sesi perutusan khas yang indah khabar dari rupa dan melengah-lengahkan bantuan segera kepada rakyat. Inilah cara sesebuah kerajaan pintu belakang melayan rakyat. Rakyat wajib menolak rejim PN dalam PRU yang akan datang.