Skip to content

Pelantikan panel penyemak bebas krisis air Pulau Pinang

Selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 5 Ogos 2022, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melantik calon-calon berikut sebagai Panel Penyemak Bebas (PPB) yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kejuruteraan air serta pengurusan lembangan tadahan air untuk membincangkan, meneliti dan mengkaji terhadap Laporan Post-Mortem yang disediakan oleh pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengenai krisis bekalan air yang berlaku di Pulau Pinang pada 6 Julai 2022 sehingga 11 Julai 2022 yang lalu:

  1. YBhg. Dato’ Ir. Ting Chek Choon;
  2. YBhg. Profesor Dato’ Dr. Nor Azazi bin Zakaria; dan
  3. YBhg. Dato’ Ir. Lim Chow Hock

Fungsi dan peranan PPB adalah sebagaimana terkandung dalam terma rujukan yang telah diluluskan sebelum ini iaitu:

  1. Mengenal pasti faktor kepada berlakunya krisis air di Negeri Pulau Pinang;
  2. Mengenal pasti kelemahan semasa berlakunya krisis air di Negeri Pulau Pinang;
  3. Mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab;
  4. Mencadangkan langkah-langkah jangka masa pendek, jangka masa sederhana pendek dan jangka masa panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku; dan
  5. Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan.

Ahli-Ahli PPB yang dilantik akan diberi masa (3) tiga bulan daripada tarikh pelantikan mereka yang telah berkuat kuasa pada 10 Ogos 2022 untuk memuktamadkan dapatan mereka.