Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Bilangan 44 Tahun 2021 pada 21 Disember 2021 telah meluluskan pelantikan YBhg. Dato’ Azhar bin Arshad sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang baharu.
Pelantikan YBhg. Dato’ Azhar bin Arshad adalah secara peminjaman untuk tempoh dua (2) tahun dan opsyen pelanjutan satu (1) tahun berkuat kuasa 1 Januari 2022, dan urusan pelantikan tersebut sedang diuruskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
YBhg. Dato’ Azhar bin Arshad dilantik sebagai Datuk Bandar MBSP bagi menggantikan YBhg. Dato’ Sr. Hj. Rozali bin Hj. Mohamud, 63, yang telah tamat kontrak perkhidmatannya pada hari ini (31 Disember 2021).
Pada kesempatan ini, saya mewakili barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Dato’ Sr. Hj. Rozali bin Hj. Mohamud di atas perkhidmatan cemerlang beliau sebagai Datuk Bandar MBSP serta jawatan-jawatan lain sejak beliau menyertai perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan pada tahun 1990.
Pelbagai pencapaian berjaya diraih oleh MBSP sepanjang tempoh kepimpinan beliau yang mana antaranya adalah kejayaan Seberang Perai merangkul sembilan (9) anugerah dan pengiktirafan sepanjang tahun 2021; melancarkan empat (4) Pelan Tindakan Strategi; menyediakan lapan (8) pencapaian Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar untuk dinilai oleh rakyat; dua (2) inovasi rekaan pertama di Malaysia yang didaftarkan dalam Daftar Hak Cipta menurut Seksyen 26B Akta Hak Cipta 1987 [Akta 332]; pemegang enam (6) Malaysia Book Of Records; melaksanakan tujuh (7) persijilan pengurusan serentak mengikut standard ISO dan mencapai kadar kitar semula 55.91 peratus pada tahun 2020 (pencapaian tertinggi dalam negara). Terkini, MBSP juga telah mencapai status Bandaraya Rendah Karbon pada tempoh satu tahun lebih awal daripada sasaran asal (tahun 2022) apabila purata penghasilan karbon per kapita sebanyak 5.39 tan CO2e adalah lebih rendah dari purata penghasilan karbon 5.47 tan CO2e (CO2e, purata pelepasan karbon global atau average global carbon emission).
Adalah diharapkan kecemerlangan ini dapat diteruskan oleh YBhg. Dato’ Azhar bin Arshad, 55, yang kini merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Memiliki latar belakang akademik dalam Ijazah Sarjana Muda Ekonomi; Diploma Pendidikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah; Diploma Pengurusan Awam dan Kursus Sarjana Pengurusan Sumber Tanah. Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Penerangan Malaysia serta beberapa Pejabat Daerah dan Tanah negeri Pahang sebelum menabur khidmat di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak bulan November 2018.
Sekalung penghargaan buat YBhg. Dato’ Sr. Hj. Rozali bin Hj. Mohamud, dan selamat bertugas kepada YBhg. Dato’ Azhar bin Arshad.