Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin, menyeru semua pemain industri durian agar terus mematuhi syarat serta Protokol Keperluan Fitosanitari yang sedang berkuat kuasa bagi pengeksportan durian segar ke China dan tidak mengambil sebarang pendekatan yang berada di luar skop protokol atau belum mendapat kelulusan rasmi daripada pihak berkuasa.
Beliau berkata, pematuhan terhadap protokol yang telah dipersetujui antara Kerajaan Malaysia dan Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) adalah amat
penting bagi memastikan akses pasaran China yang diperoleh hasil rundingan bertahun- tahun dapat terus dikekalkan.
“Kita tidak boleh mengambil risiko yang boleh menjejaskan keyakinan pihak berkuasa China terhadap sistem kawal selia Malaysia. Apa-apa kaedah baharu yang belum dipersetujui atau tidak selaras dengan protokol sedia ada tidak seharusnya dilaksanakan secara unilateral kerana implikasinya bukan sahaja kepada syarikat terbabit, malah boleh menjejaskan keseluruhan industri durian negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Industri Durian Mengenai Cadangan Pre-Cut Durian Eksport ke China di Wisma Tani, Putrajaya pada Jumaat lalu.
Chan berkata, industri durian merupakan antara subsektor agromakanan bernilai tinggi negara yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan. Pada tahun 2025, Malaysia merekodkan eksport durian bernilai RM1.10 bilion melibatkan 45,266 tan metrik ke pasaran global. China kekal sebagai destinasi eksport terbesar dengan nilai RM868.09 juta, iaitu hampir 79 peratus daripada keseluruhan nilai eksport durian negara.
Menurut beliau, pembukaan akses pasaran durian segar ke China pada tahun 2024 merupakan satu pencapaian penting hasil rundingan yang panjang antara kedua-dua negara dan tertakluk sepenuhnya kepada Protokol Keperluan Fitosanitari yang telah dipersetujui bersama.
Mengulas isu cadangan kaedah pre-cut, Chan berkata KPKM mengambil maklum bahawa terdapat pandangan daripada sebahagian pemain industri yang melihat kaedah
tersebut berpotensi memanjangkan jangka hayat produk, mengurangkan kos logistik dan memperluaskan pilihan penghantaran ke pasaran China.
“Pada masa yang sama, kita juga perlu mengambil kira kebimbangan yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkaitan pematuhan protokol, kawalan kualiti, keselamatan makanan dan kebolehkesanan produk.
“Perkara ini juga berkait rapat dengan reputasi durian Malaysia sebagai durian gugur matang (tree-ripened) yang selama ini menjadi identiti premium negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa Jabatan Pertanian melalui kenyataan media bertarikh 2 Julai 2026 telah menjelaskan bahawa pengeksportan durian segar melalui laluan darat yang melibatkan transit ke negara lain adalah di luar skop Protokol Keperluan Fitosanitari yang sedang berkuat kuasa dan tidak dibenarkan sehingga sebarang pindaan atau protokol baharu dimuktamadkan serta dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia dan GACC.
Beliau turut memaklumkan bahawa Pejabat Perwakilan Pertanian (ACO) Beijing baru-baru ini telah mengadakan perbincangan dengan pihak GACC, yang menegaskan
bahawa protokol sedia ada masih terpakai sepenuhnya dan tiada laluan darat dibenarkan bagi pengeksportan durian segar ke China.
“Saya ingin menasihatkan semua pemain industri supaya terus mematuhi syarat dan protokol yang sedang berkuat kuasa. Jangan mengambil jalan yang berada di luar skop kebenaran atau cuba mendahului proses yang belum dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan. Sebarang perubahan kepada kaedah pengeksportan hendaklah melalui saluran rasmi dan hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Kerajaan Malaysia serta GACC.”
Beliau menegaskan bahawa KPKM kekal mengamalkan pendekatan yang terbuka dan berpandukan fakta dalam menilai setiap cadangan daripada industri.
“Kementerian akan terus mengadakan libat urus dengan semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang praktikal dan seimbang. Namun, keutamaan kita adalah memastikan kepentingan jangka panjang industri terus terpelihara, reputasi durian Malaysia sebagai produk premium kekal terjamin, dan akses pasaran China yang dibina hasil usaha diplomasi bertahun-tahun tidak terjejas,” katanya.