Terima kasih atas peluang untuk membahas. Dengan tidak membuang masa, saya terus kepada isu-isu untuk penjelasan dan jawapan daripada Menteri yang berkenaan:
1) Menteri MITI (Yang Berhomat Gombak)
Berkenaan dengan APEC, KPI yang terpenting sekali untuk Malaysia, sebagai “host economy” adalah untuk mendapatkan konsensus bagi “post-Bogor goals” yang akan digunakan sebagai rujukan matlamat APEC untuk sekurang-kurangnya 10 tahun. Satu cabaran besar untuk mendapatkan konsensus ini adalah “Perang Dingin Baru” ataupun “New Cold War” di antara China dan Amerika Syarikat. Ini adalah satu sebab utama mengapa satu deklarasi bersama ataupun “joint declaration” tidak dapat dikeluarkan pada tahu 2018 apabila Papua New Guinea (PNG) menjadi “host economy”. Perang dingin ini telah bertambah serius sejak tahun 2018. Apakah strategi yang sedang dan akan diambil oleh pihak MITI bersama dengan ahli APEC yang lain untuk mengelakkan kedua-dua ekonomi besar ini daripada menghalang satu konsensus post-Bogor goals untuk dicapai? Adakah pencapaian ini akan terjejas jikalau Presiden Trump enggan menyertai persidangan APEC oleh kerana beliau kalah di pilihanraya Presiden yang akan dijalankan pada awal bulan November sebelum persidangan APEC?
Soalan kedua saya untuk Menteri MITI ialah pendirian kerajaan PN terhadap Perjanjian Perdagangan Bebas ataupun “Free Trade Agreements”. Saya sedar bahawa pihak MITI sedang berusaha bersama dengan negara lain untuk memuktamadkan “Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP)”. Memandangkan wabak COVID 19 telah menghentikan “face to face meetings”, apakah kemungkinan bahawa RCEP boleh dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini dan adakah India akan bersetuju dengan syarat-syarat yang telah dikemukakan oleh 15 negara lain dalam perbincangan RCEP? Pada masa yang sama, adakah kerajaan PN telah membuat keputusan tentang ratifikasi CPTPP? Adakah kerajaan PN berhasrat untuk memulakan perbincangan dengan pihak European Union (EU) tentang EU-Malaysia FTA? Dewan yang mulia ini boleh ambil maklum bahawa negara jiran kita, iaitu Vietnam telah menandatangani FTA dengan EU pada awal tahun ini dan Indonesia telah laksanakan 9 pusingan rundingan dengan EU untuk FTA. Saya juga ingin tahu perkembangan terkini tentang perbincangan FTA degan European Free Trade Association (EFTA).
Soalan ketiga dan terakhir saya kepada Menteri MITI ialah berkenaan dengan Industri 4.0 atau Industry4WRD. Dalam jawapan bertulis, saya dimaklumkan bahawa sasaran untuk Penilaian Persediaan ataupun “Readiness Assessment” (RA) untuk tahun 2020 adalah sebanyak 450 Perusahaan Kecil Sederhana (PKS). Untuk makluman dewan yang mulia ini, waktu kerajaan PH, sebanyak 508 syarikat PKS telah melalui RA. Setakat Jun 2020, saya dimaklumkan bahawa hanya 112 permohonan telah diluluskan untuk menjalani program RA. Saya rasa keputusan yang kurang memuaskan ini berpunca daripada MCO yang bermula pada 18 Mac 2020. Apakah rancangan pihak MITI untuk memastikan bahawa sasaran untuk tahun 2020 boleh dicapai? Pada masa yang sama, bilakah RA untuk “manufacturing related services” (MRS) akan dilancarkan? (Jawapan bertulis nyatakan pertengahan bulan Julai 2020 tetapi buat masa sekarang, tidak ada pengumuman lagi)
2) Menteri Sumber Manusia (Yang Berhomat Tapah)
Kepada Menteri Sumber Manusia, saya ambil maklum bahawa Menteri telah mengumumkan bahawa quota baru untuk pekerja asing pada tahun 2020 telah dibekukan. Saya juga diberitahu bahawa majikan yang masih ada quota untuk pekerja asing boleh “transfer” quota ini kepada majikan yang lain.
Saya ada dua soalan untuk Menteri. Soalan pertama saya ialah apakah proses yang sedang digunakan oleh pihak Kementerian untuk memastikan bahawa “quota” pekerja asing yang diagihkan ataupaun “transfer” ke majikan yang lain dibuat dengan cara yang telus dan tidak disalahgunakan oleh majikan yang tidak bertanggungjawab? Saya rasa “transfer” polisi ini adalah baik oleh kerana ia boleh membantu majikan di industri yang mengalami kesusutan akibat wabak COVID dan boleh membantu majikan yang mengalami pertumbuhan seperti pembuat sarung tangan. Tetapi ia mesti diimplmentasi dengan cara yang telus dan efisien.
Soalan kedua yang mengenai pas pekerja ataupun “employment pass” untuk ekspatriat. Baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa insentif untuk menggalakkan pelaburan asing ke Malaysia. Tetapi pelaburan asing in biasanya memerlukan pekerja ekspatriat untuk beroperasi bersama dengan pekerja tempatan. Jadi, adakah polisi pembekuan pekerja asing untuk 2020 melibatkan pekerja ekspatriat juga? Adakah “employment pass” kategori 1 (gaji RM10,000 sebluan ke atas) dan kategori 2 (gaji RM5000-RM9999 ke atas) juga telah dibekukan oleh pihak Kementerian?
3) Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab untuk EPU (Yang Berhormat Jeli)
Saya mengucapkan tahniah kepada YB Jeli atas keputusan beliau untuk menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) atau “Poverty Line Income” (PLI) dari RM980 sebulan ke RM2208 sebulan. Ini adalah satu langkah yang baik dan berbeza dengan pendirian YB Gombak semasa beliau bertugas sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan menafikan pencarian pakar Bank Dunia (“World Bank”) bahawa kadar kemiskinan di Malaysia bukan hanya 0.4% seperti yang dilaporkan sebelum ini. Saya ada TIGA cadangan untuk menambah baik metodologi PGK dan penghitungan kemiskinan dan saya harap cadangan ini boleh diambil kira dalam Survei Pendapatan Isi Rumah ataupun “Household Income Survey (HIS)” yang akan datang.
Cadangan yang pertama ialah supaya angka untuk kategori Bumiputera dipisahkan kepada Melayu Bumiputera, Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Sabah supaya kadar kemiskinan di antar ketiga-tiga kumpulan ini boleh difahami dengan lebih mendalam. Saya rasa rakan2 dari Sabah dan Sarawak pun boleh sokong cadangan ini oleh kerana kadar kemiskinan di kalangan Bumiputera Sabah dan Sarawak jauh lebih tinggi daripada yang dialami oleh kaum Melayu di Semenanjung Malaysia. Dengan angka yang lebih tepat, kerajaan juga dapat memperbaiki polisi-polisi supaya isu kemiskinan di kalangan rakyat Bumiputera Sabah dan Sarawak boleh ditangani dengan lebih efektik.
Cadangan kedua saya ialah untuk memperbaiki angka PGK / PLI mengikut negeri supaya ia menggambarkan keadaan sebenarnya dengan lebih tepat. Saya beri contoh berikut: Mengikut HIS 2019, PLI 2019 untuk Selangor adalah RM2022 iaitu lebih rendah berbanding dengan PLI seluruh negara iaitu RM2208. PLI untuk Wilayah Persekutuan KL adalah RM2216, iaitu lebih RM8 berbanding dengan PLI seluruh negara. PLI untuk negeri Terengganu adalah RM2507, untuk Sabah ialah RM2537 dan untuk Sarawak adalah RM2131. Bagi saya, ini tidak menggambarkan realiti sebenarnya kerana kos kehidupan yang jauh lebih tinggi di Lembah Kelang berbanding dengan negeri yang lain bermakna bahawa PLI untuk negeri seperti Selangor dan WPKL sepatutnya lebih tinggi berbanding dengan misalnya Terengganu. Pada masa yang sama, saya juga hairan kenapa adanya jurang yang begitu besar di antara PLI Sabah dan Sarawak memandangkan kos pengangkutan untuk barang asas adalah lebih tinggi untuk negeri Sarawak berbanding dengan negeri Sabah.
Cadangan ketiga saya ialah supaya “individual level data” untuk HIS diterbitkan sebagai satu dataset secara umum. Butiran peribadi seperti nama dan alamat boleh dikeluarkan daripada dataset. Ini akan membolehkan pensyarah dan ahli akademik di universiti tempatan untuk membuat kajian yang lebih mendalam tentang isu kemiskinan. Ia juga membolehkan ahli akademik kita menerbitkan artikel mereka dalam jurnal bertaraf ISI dan ini akan membantu menaikkan kedudukan ataupun “Ranking” universiti tempatan dalam “regional” dan “international ranking”.
4) Menteri Belia dan Sukan (YB Kepala Batas)
Soalan ini singkat sahaja. Saya pasti YB Menteri sedar bahawa adalah atlet kehandalan negara dalam program “Road to Tokyo” yang masih belum mencapai tahap kelayakan untuk menyertai sukan Olimpik 2021. Antara sebabnya ialah banyak pertandingan antarabangsa telah dibatalkan akibat wabak COVID 19.
Saya beri satu contoh. Jackie Wong adalah atlet baling tukul besi (“hammer throw”) dan juga pemegang rekod kebangsaan dalam acara ini. In the interest of full transparency, beliau juga adalah anak kepada YB Sarikei. Beliau memerlukan 100 lebih markah untuk melatakkan diri dalam ranking 32 pembaling tukul besi yang terbaik di dunia. Salah satu cara untuk mendapatkan markah kelayakkan ini adalah untuk menyertai pertandingan, tak kira pertandingan antarabangsa ataupun pertandingan tempatan. Soalan saya ialah sama ada pihak Kementeri ada rancangan untuk bekerjasama dengan persatuan sukan tertentu seperti Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menjalankan pertandingan tempatan untuk membantu atlet seperti Jackie Wong mencapai matlamat mereka untuk melayakkan diri ke sukan Olimpik Tokyo 2021.
Saya bangkitkan isu ini bukan untuk kepentingan seorang sahaja tetapi untuk kesemua 181 atlet di bawah program Road to Tokyo.
5) Menteri Pengajian Tinggi (YB Pasir Sulong)
Soalan saya berkenaan dengan isu Universiti Teknologi Kreatif LimKokWing ataupun “LimKokWing Creative University of Technology (LCUT)”. Dalam jawapan bertulis yang diberikan kepada saya pada 15 Julai 2020, pihak Kementerian menyatakan bahawa LCUT telah memohon maaf atas isu yang ditularkan di laman sosial. Ini berkenaan dengan “billboard King of Africa” yang menunjukkan pengasas universiti ini, Tan Sri Lim Kok Wing, sebagai “Raja Africa”.
Saya nak tanya sama ada pihak Kementerian sedar bahawa ada banyak lagi tuduhan yang telah dibuat di media sosial terhadap univesiti tersebut termasuk tuduhan bahawa pelajar kulit hitam tidak digalakkan untuk menjadi wakil universiti di pameran pemasaran pengajian tinggi.
Ada juga tuduhan serius yang didedahkan bersama dengan klip audio dimana ahli bukan akademik di LCUT “dipaksa” untuk membuat applikasi untuk menjadi pensyarah tidak kira sama ada mereka layak atau ada niat untuk mendapatkan kelayakan ini.
Semua butiran ini boleh didapati dalam laman web “limkokwingisracist.com”. Saya tidak dapat mengesahkan kesahihan dokumen dan klip audio yang didedahkan tetapi saya menyeru pihak Kementerian termasuk pihak Malaysian Qualifications Agency (MQA) untuk melakukan penyiasatan yang komprehensif supaya nama baik negara dan IPTS yang lain tidak dicemarkan oleh tuduhan seperti ini.
6) Perdana Menteri (YAB Pagoh)
Soalan saya kepada YAB Pagoh adalah berkenaan dengan peletakan jawatan mantan CEO PNB, Encik Jalil Rasheed. Dalam jawapan bertulis bertarikh 16 Julai 2020, alasan bahawa kelayakkan akademik Encik Jalil Rasheed daripada University of London dan bukan London School of Economics (LSE) telah diberikan sebata satu sebab kenapa beliau meletak jawatan. Bagi saya, ini isu teknikal dan hakikatnya, peletakan jawatan beliau telah menimbulkan banyak spekulasi terhadap alasan sebenarnya beliau “dipaksa” untuk letak jawatan. Soalan saya, adakah Perdana Menteri berhasrat untuk melakukan siasatan latar belakang akademik untuk semua CEO dan Pengerusi GLC dan GLIC termasuk ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) yang baru-baru dilantik kepada jawatan mereka?
7) Menteri Alam Sekitar dan Air
Baru-baru ini, pada hari Sabtu, 18 Julai, 2020, banjir kilat yang menyebabkan air dari Sungai Langar melimpah tebing telah berlaku di kawasan Bangi dan Kajang. Banjir ini adalah banjir paling teruk dalam tempoh masa 30 tahun. Banyak rumah terjejas akibat kemasukan air.
Soalan saya – apakah tindakan bersama yang boleh diambil oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan kerajaan negeri Selangor untuk mengurangkan impak banjir seperti ini jikalau berlaku sekali lagi.
Sekian sahaja, terima kasih.