Adalah tidak adil untuk melabelkan graduan yang menyertai program SL1M separuh jalan tanpa sebarang bukti empirikal yang menyokong dakwaan bahawa mereka adalah jenis yang ‘cabut lari’ atau ‘sikap manja’ seperti yang didakwa oleh Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail.
Walaupun seperti yang dikongsi oleh beliau bahawa bilangan peserta SL1M adalah sebanyak 138,398 namun tidak ada sebarang rekod bilangan peserta yang berhenti separuh jalan. Oleh yang demikian pihak SL1M tidak patut memberi anggapan sinis sebegitu tanpa bukti yang sahih. (https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/23638/)
Pihak SL1M patut berkongsi jumlah bilangan yang berhenti dan membuat kajian untuk mencari solusi bagi menangani masalah sebegini. Walaupun inisiatif SL1M sebenarnya adalah sebuah inisiatif untuk membendung pengangguran di kalangan graduan, namun beberapa kajian secara terperinci harus dilakukan untuk membendung masalah pengangguran jangka masa panjang.
Sebagai contoh, sistem pendidikan negara harus membina jati diri dan kekentalan jiwa anak muda supaya diberikan kebolehan untuk mengatasi cabaran hidup. Adalah penting untuk anak muda diberikan motivasi untuk mengatasi segala cabaran di dunia ini yang membangun dengan pesat sekali. SL1M juga patut bekerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi untuk menggalakkan pelajar mendapat kemahiran semasa cuti semester bergantung kepada kursus pengajian dan pengkhususan untuk menimba pengalaman.
SL1M juga harus menaikkan elaun yang sedia ada daripada RM 1500 kepada RM 2300 sebulan supaya boleh membantu anak muda menangani kos sara hidup. Kerajaan Persekutuan harus berunding dengan pihak swasta untuk menaikkan elaun bagi peserta SL1M. Harus diingati bahawa para graduan mencari kerja untuk mencari nafkah di samping mencari pengalaman hidup.