Skip to content

Pembangunan Mampan – Sebahagian daripada Agenda Hijau

Tema Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) untuk tahun ini adalah Menghapuskan Pencemaran Plastik. Tema ini adalah senada dengan DAP, yang merupakan parti politik pertama di Malaysia yang menekankan kepentingan kehijauan bumi. Membanteras pencemaran plastik adalah agenda utama yang dilakukan oleh
Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diperintah DAP sejak tahun 2008 lagi.

Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri yang melaksanakan kempen Tanpa Beg Plastik Percuma di semua pasar raya di mana bayaran sebanyak 20 sen dikenakan untuk setiap beg plastik – satu langkah yang kecil dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pencemaran plastik. Kami juga telah memperkenalkan prinsip ‘Polluters Pay’ (Pencemar Membayar). DAP sememangnya mengalu-alukan sebarang inisiatif yang mengharamkan penggunaan beg plastik sebelum tahun 2020.

Sisa-sisa plastik yang semakin meningkat telah menimbulkan kekangan yang amat besar terhadap sumber kerajaan yang terhad. Daripada 170 tapak pelupusan sisa di Malaysia, hanya 14 adalah tapak pelupusan sanitari yang menghalang tanah dan sumber air daripada tercemar. Kita perlu melabur kepada sistem pengurusan sampah yang bersepadu termasuk mempertimbangkan pengurusan kitaran produk bagi mengurangkan impak kepada alam sekitar.

Kita komited terhadap prinsip pembangunan lestari sebagai sebahagian daripada agenda hijau yang dinyatakan dalam manifesto Pakatan Rakyat No. 39 iaitu mengimbangi pembangunan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar.

Kita juga harus memenuhi janji kita yang dibuat di Sidang Kemuncak Bumi 1992 di Rio dengan mengekalkan 50% perlindungan hutan (termasuk hutan yang dilindungi sepenuhnya dan pengeluaran hutan) dan menghentikan kehilangan biodiversiti. Ini adalah salah satu cabaran yang kita perlu lalui untuk mengekalkan kehijauan bumi. Pulau Pinang tidak sepatutnya menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang melindungi rizab hutan dengan tidak menebang sebarang hutanpun walaupun seinci. Pulau Pinang berbangga dengan rekod ini dan ia perlu dipraktikkan oleh negeri-negeri lain seperti Pahang dan Kelantan dalam usaha pengurangan pembalakan.

Malaysia adalah negara yang mengambil bahagian daripada Perjanjian Paris Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai
Perubahan Iklim Matlamat Pembangunan Mampan PBB dan Konvensyen PBB mengenai Kepelbagaian Biologi.

Semoga kita semua dibimbing oleh satu set prinsip ekologi yang kuat bagi membolehkan rakyat hidup dalam persekitaran yang bersih, hijau, selamat dan sihat.