Skip to content

Pembaziran RM60 bilion yang salah dalam dana langsung kerajaan untuk memerangi COVID-19 yang gagal mencegah peningkatan kematian dan jangkitan yang mengakibatkan 3 PKP dan Program Imunisasi Kebangsaan (PICK) yang gagal

DAP sedih dengan gambar memilukan Hospital Sungai Buloh yang menyimpan korban COVID-19 dalam bekas putih dengan rak. Jumlah kematian COVID-19 mencapai paras tertinggi 44 orang pada 15 Mei, dengan jumlah kematian 1,902 orang, sehingga tidak ada cukup ruang di bilik mayat hospital kita. Lebih buruk lagi ialah terdapat 520 pesakit di Unit Rawatan Rapi, dua kali ganda dari jumlah tertinggi sebelum ini.

Ini menunjukkan betapa besarnya kegagalan Kerajaan PN dalam salah urus krisis kesihatan COVID-19, walaupun RM60 bilion dana langsung COVID-19 diperuntukkan sejak tahun lalu seperti berikut. Pada tahun 2020, Dana Khas COVID-19 berjumlah RM38 bilion ditubuhkan. Dalam Belanjawan 2021, RM17 bilion diperuntukkan untuk Dana COVID-19. Sebanyak RM5 bilion lagi kemudiannya diperuntukkan dari tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk membeli vaksin dan perbelanjaan yang berkaitan, berikutan penggunaan kuasa darurat oleh Perdana Menteri untuk meminda undang-undang untuk “menjarah” tabung KWAN tanpa mendapat kelulusan Parlimen.

Ini adalah pembaziran sebanyak RM60 bilion yang salah dalam dana langsung kerajaan untuk memerangi COVID-19, yang gagal mencegah peningkatan kematian dan jangkitan dan mengakibatkan tiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merosakkan ekonomi serta Program Imunisasi Nasional (PICK) yang gagal. Malaysia adalah negara Asia Pasifik terburuk dari segi jangkitan COVID-19 per kapita dan kes jangkitan harian kita kini lebih teruk daripada Indonesia.

Tidak pernah saya sangka keadaan Malaysia akan lebih teruk daripada Indonesia, sehinggalah Indonesia menggunakan Malaysia sebagai peringatan kepada rakyatnya mengenai semua perkara yang boleh menjadi teruk kerana gagal mematuhi SOP Covid-19. Amaran sedemikian mengenai kegagalan Malaysia dalam pengurusan krisis COVID-19 mungkin ada benarnya apabila kadar vaksinasi penuh Indonesia untuk dua dos pada 4.2% penduduknya besar lebih tinggi daripada 2.3% dua dos bagi Malaysia.

Kemarahan semakin meningkat di kalangan rakyat terhadap kematian dan kerugian ekonomi yang tidak perlu disebalik membelanjakan RM60 bilion. Mengapa kadar vaksinasi masih rendah ketika RM5 bilion telah diperuntukkan secara langsung dari tabung KWAN untuk membeli dos vaksin? Malaysia telah memberikan dos pertama vaksin Covid-19 kepada hanya 3.6 peratus daripada 32.7 juta penduduk, termasuk pekerja asing.

Ini jauh berbeza dengan kejayaan United Kingdom dalam memberikan sekurang-kurangnya satu dos kepada 55% penduduknya. Di England sahaja, kira-kira 11,700 kematian telah berjaya dihindari pada warga emas 60 tahun atau lebih, sebagai kesan langsung daripada divaksinasi. Akan ada lebih banyak kematian yang tidak dapat dielakkan jika Kerajaan PN tidak menjalankan tanggungjawab mereka, mendengar, dan melibatkan rakyat dengan menghindari dasar yang berubah-ubah dan pusingan U SOP dan amalan dua darjat dalam menguatkuasakan pematuhan PKP dan memastikan pengurusan yang cekap dan profesional.

Dengan penggantungan Parlimen yang tidak berperlembagaan, tidak ada akauntabiliti dan ketelusan mengenai bagaimana RM60 bilion ini telah dibelanjakan. Mungkin inilah sebab mengapa PN enggan membuka semula Parlimen. Malangnya, rakyat Malaysia perlu menanggung kerugian ekonomi dan kehilangan mata pencarian serta kematian yang dapat dielak disebabkan kegagalan PN yang tidak terhingga.