Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini, membentangkan Laporan Pengurusan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)/Kementerian Dalam Negeri (KDN)/Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Isu ini adalah sebahagian daripada penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2019 Siri 2 Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan dan Badan-badan Berkanun yang dibentangkan di Parlimen pada 28 September 2021.
PAC telah memberikan keutamaan kepada kes ini memandangkan isu ini mendapat perhatian ramai pihak dan dalam memastikan Kerajaan boleh mengambil tindakan segera terhadap rumusan dan syor Jawatankuasa ini, Laporannya disiapkan tidak sampai sebulan daripada tarikh mesyuarat Prosiding pertama iaitu pada 24 November 2021.
PAC mengadakan tiga mesyuarat prosiding berhubung isu ini iaitu pada 24 November 2021, 1 Disember 2021 serta 2 Disember 2021 dan saksi yang dipanggil adalah:
- Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Audit Negara;
- Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha MOTAC;
- Encik Anthony Liew Yong Huat, Pengerusi Persatuan Perunding MM2H (MM2HCA);
- Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN; dan
- Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Pengarah JIM.
Melalui prosiding berkenaan, PAC membuat lapan (8) rumusan seperti berikut:
- Program MM2H dilihat mampu menyumbang kepada hasil negara dan dapat membantu mengembangkan ekonomi negara dalam pelbagai sektor termasuk pelancongan, pendidikan dan perhotelan;
- Pengurusan Program MM2H tidak begitu memuaskan yang mana data dan dokumen peserta MM2H tidak diselenggarakan secara sistematik. Ini menyebabkan pemantauan terhadap aktiviti serta perbelanjaan peserta dan pemilikan aset tidak dapat disahkan;
- Tiada rekod lengkap bagi mengenal pasti keseluruhan nilai hartanah yang dimiliki kesemua peserta MM2H. Data pemilikan hartanah hanya direkodkan sekiranya pembelian hartanah melibatkan penggunaan wang simpanan tetap (FD) yang terikat dengan pensyaratan program MM2H;
- Bilangan peserta MM2H yang membuat permohonan lanjutan selepas tamat tempoh 10 tahun pertama tidak dapat disahkan. JIM tidak dapat menjana laporan yang membezakan permohonan baharu dan permohonan lanjutan program MM2H secara keseluruhan dan langkah-langkah pembaikan belum lagi diambil;
- Terdapat tafsiran yang berbeza antara JAN dan KDN/JIM dalam Pekeliling Imigresen Malaysia Bilangan 6 Tahun 2009 mengenai had umur anak yang dibenarkan sebagai tanggungan bagi peserta dalam program MM2H;
- Mengambil maklum tidak wujud ancaman keselamatan daripada peserta program MM2H sepanjang masa program MM2H dilaksanakan sejak tahun 2002 seperti yang disahkan oleh JIM;
- Mengambil maklum kriteria baharu untuk program MM2H tidak akan diguna pakai terhadap peserta-peserta yang sedia ada kecuali pembayaran fi pemprosesan sebanyak RM500 yang telah ditetapkan di bawah syarat baharu; dan
- Tidak banyak sesi libat urus yang dilaksanakan bersama pemegang taruh (stakeholders) bagi penetapan syarat baharu program MM2H.
Sebagai langkah penambahbaikan kepada Program MM2H, PAC Parlimen mengesyorkan lima (5) perkara kepada Kerajaan untuk dilaksanakan seperti berikut:
- Dasar baharu program MM2H haruslah bersifat mesra pelanggan dan kompetitif berbanding dengan negara-negara jiran. Kriteria penyertaan haruslah lebih fleksibel mengikut kepelbagaian kumpulan peserta yang disasarkan. Sesi libat urus dengan kesemua stakeholders haruslah dipergiatkan sebelum dasar baharu dimuktamadkan;
- Kerajaan hendaklah memperkasakan peranan MOTAC dalam mempromosi program MM2H demi mencapai matlamat asal iaitu merangsang ekonomi negara dalam subsektor pelancongan seperti pendidikan, perubatan, hartanah dan industri automobil;
- KDN hendaklah mempertingkatkan sistem aplikasi penyimpanan maklumat yang lengkap khasnya daripada segi pemantauan bilangan peserta mengikut kategori permohonan lanjutan dan permohonan baharu, aktiviti dan perbelanjaan peserta, pemilikan aset dan isu-isu lain yang dinyatakan dalam LKAN dan Laporan PAC ini;
- KDN hendaklah berkoordinasi dengan Pendaftar Tanah Dan Galian (PTG) di semua negeri dan menyimpan rekod bagi memastikan maklumat pembelian dan pemilikan hartanah oleh peserta MM2H adalah lengkap; dan
- Pekeliling Imigresen Malaysia Bilangan 6 Tahun 2009 haruslah dipinda atau diganti dengan pekeliling yang lain untuk memberikan tafsiran yang tepat mengenai had umur anak yang dibenarkan sebagai tanggungan bagi peserta dalam program MM2H.
Orang ramai yang berminat untuk membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung Pengurusan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya / Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) boleh memuat turun (download) laporan berkenaan di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac